Monday, 25 November 2013

Empat pemain import dalam Liga Malaysia musim depan

Hamidin dan Affandi di Mesyuarat EXCO FAM..
Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam meluluskan untuk membenarkan empat pemain import dengan kuota 3+1 beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. 

Berbanding hanya 2+1 yang dibenarkan sebelum ini, kuota 3+1 kali ini membolehkan setiap pasukan mengambil empat import dengan seorang daripadanya wajib dari benua Asia bagi merancakkan saingan yang akan bermula dengan aksi Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah, 17 Januari depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata bagaimanapun hanya tiga pemain import dibenarkan beraksi dalam suatu masa. 

Pemain import Kelantan Dickson Nwakame.
“Kita dah cadang untuk kuota (import) dan mendapat persetujuan untuk menetapkan 3+1 bagi saingan 2014. Kehadiran mereka merancakkan saingan liga dengan seorang daripada mereka mesti dari benua Asia. 

“Bagaimanapun hanya tiga saja yang boleh bermain dalam suatu masa. Kalau ada empat import, tiga dibenarkan beraksi manakala seorang lagi boleh diletakkan di bangku simpanan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO FAM semalam. 
Afandi juga berkata pihaknya sedang menilai permohonan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mendaftarkan bekas pemain Sydney FC dari Liga Australia (Liga A), Brendan Gan sebagai pemain tempatan. 

“Kita sahkan ada menerima permohonan daripada KAFA dan perkara itu akan dinilai. Kita akan merujuk kepada badan tertentu seperti Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum dibawa ke JKPT,” katanya.-BH

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib