Thursday, 7 November 2013

Dadah bernilai RM14.6 juta dirampas di Pulau Pinang

Dadah jenis syabu bernilai RM14.6 juta dirampas.
Misteri "kehilangan" penyewa rumah sejak tiga bulan lepas membawa kepada penemuan 77 kilogram dadah sintetik serta 15 liter cecair dadah jenis syabu di sebuah pangsapuri di Jelutong di sini.
   
Kesemua dadah bernilai RM14.6 juta itu ditemui oleh polis yang menggeledah rumah tersebut pada pukul 10 malam Sabtu lepas, susulan laporan daripada tuan rumah yang memecah masuk ke dalam rumah berkenaan setelah gagal mengesan penyewanya.
   
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata siasatan polis kemudian mendapati lelaki berusia awal 20-an yang menyewa pangsapuri itu telah ditahan oleh pihak berkuasa China bagi membantu siasatan kes jenayah di negara berkenaan.
    
"Lelaki itu ditahan di wilayah Xiamen," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
   
Mengulas kejadian, Abdul Rahim berkata tuan rumah bertindak memecah masuk ke dalam rumah itu setelah penyewanya bukan sahaja gagal menjelaskan bayaran sewa sejak Ogos lepas, tetapi juga gagal dikesan.

Pemilik rumah yang menemui dadah terbabit kemudian menghubungi polis dan hasil penggeledahan polis menemukan 19 kg serbuk dadah jenis ecstacy, 58 kg syabu serta 15 liter cecair syabu, katanya.
   
Katanya polis percaya suspek yang merupakan rakyat tempatan berperanan sebagai kurier yang membawa dadah keluar-masuk ke negara ini sebelum ditangkap di China.       
   
"Dia jadikan rumah sewanya di Jelutong itu sebagai stor simpanan dan dadah-dadah itu adalah sebagai stok untuk penghantaran," kata beliau.
   
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
   
Mengulas kes lain, Abdul Rahim berkata polis menahan empat lelaki yang dipercayai anggota kongsi gelap serta merampas sepucuk pistol tiruan dan pelbagai jenis dadah bernilai sekitar RM700 pada Isnin lepas.

Kesemua suspek yang berusia antara 24 dan 38 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam dekat sini. Dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah bersabit kesalahan dadah, katanya.
   
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan.
   
Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api yang menetapkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib