Thursday, 31 October 2013

Tiga Jemaah Haji Maut Kemalangan Di Lebuh Raya Pantai Timur

Van yang dinaiki mangsa nahas.
Waris tiga jemaah haji yang menemui ajal dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini awal pagi ini tidak menyangka saat yang ditunggu-tunggu dengan penuh gembira bagi menyambut kepulangan mereka dari Tanah Suci bertukar pilu.

Dalam kejadian 3.40 pagi di KM210.2, LPT dekat Gambang itu, van yang membawa pulang lima jemaah haji ke Kuantan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) telah merempuh belakang lori muatan bijih besi mengakibatkan tiga maut dan tiga lagi termasuk pemandu cedera.

Tiga yang maut ialah Kamarudin Ab. Rahman,  43, Zainab Awang Hassan, 59, dan Fatimah Said, 63, manakala isteri dan ibu Kamaruddin, Tuan Mazlinawati Tuan Abdullah, 40, dan Rokiah Ibrahim, 63, serta pemandu van Robaie Roslan, 45, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Remuk van selepas bertembung lori muatan besi.
Cucu Fatimah, Nur Syafiqa Lyanna Saidi, 25, berkata, dia tidak sabar menunggu kepulangan neneknya selepas tidak bertemu lebih sebulan, namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

"Dia (Fatimah) memang kat sana katanya 'happy' sebab tahun lepas dia dah nak pergi cuma tak dapat...tapi tak sangka pulak nak jadi macam ni.

"Keluarga pun terima berita ini (kematian) dengan reda," katanya dalam sebak ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, HTAA.

Seorang anggota keluarga Kamarudin, Khairul Azhan Zainol, 41, berkata, mereka sekeluarga merancang untuk bercuti ke Pulau Langkawi selepas pulang dari Makkah.


3 jemaah selamat dikebumikan dalam 1 liang lahad.
"Saya hubungi biras saya, Mazlinawati (isteri Kamarudin) pada kira-kira jam 4 pagi untuk bertanya sama ada sudah sampai di Kuantan sebab jangka sampai jam 2 pagi namun mereka lewat.

"Ketika menghubungi Mazlinawati saya diberitahu mengenai kemalangan itu dan kami sekeluarga terus bergegas ke HTAA," katanya.

Jenazah ketiga-tiga mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Gambang petang tadi. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib