Monday, 28 October 2013

Irfan Fazail dan Fadhli Shas sertai Johor DT musim depan

Irfan Fazail dan Fadhli Shas.
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengikat dua pemain Harimau Muda dalam memantapkan barisan pemainnya dalam misi memburu kemenangan untuk persaingan Liga Malaysia tahun hadapan, lapor NORSHIKIN MOHD SALLEH.

Dua pemain tersebut, Mohd Irfan Fazail dan Muhd Fadhli Shas, masing-masing berusia 22 tahun mengikat kontrak selama dua tahun untuk bersama Johor Darul Takzim (DT) dengan tawaran pilihan dua tahun lagi.

Sesi perkenalan dua pemain tersebut dilakukan Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga turut mengesahkan mengekalkan sembilan pemain sedia ada untuk terus menyarung jersi Harimau Selatan itu.

Beliau turut memaklumkan penyertaan tonggak Lions XII, Hariss Harun termasuk dalam proses perbincangan mengenai kedudukan Safee Sali dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.

“Saya gembira dan berbangga kerana kedua-dua pemain (Mohd Irfan dan Muhd Fadhli) kembali menabur bakti kepada negeri ini, sekali gus berharap mereka dapat menggunakan segala pengalaman untuk memantapkan lagi pasukan.

“Ia merupakan satu cabaran untuk menguji dan menaikkan prestasi untuk diri sendiri. Saya juga merasakan pilihan yang dibuat ini adalah tepat dan hakikatnya tidak sabar untuk menunggu Liga Malaysia musim depan bermula,” katanya di majlis memperkenalkan dua pemain muda secara rasmi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini semalam.

Menurut Irfan, yang juga kapten Harimau Muda, beliau berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana membantu merealisasikan hasratnya untuk berbakti kepada Johor.

"Saya akan menggunakan segala pengalaman bersama Harimau Muda dalam menaikkan lagi nama pasukan Johor Darul Takzim, “ katanya.

Bagi Mohd Fadhli pula, pilihan untuk bermain dengan Johor DT musim depan adalah keputusan yang amat tepat berikutan daripada kebangkitan bola sepak Johor pada ketika ini.

Antara pemain yang dikekalkan Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Muhammad Akram Mahinan, Hadin Azman, Jasazrin Jamaluddin termasuk penjaga gol, Mohd Al-Hafiz Hamzah.

Katanya, PBNJ juga dalam perbincangan mengenai status dua pemain Lions XII iaitu Shahril Ishak dan Baihakki Khaizan untuk pasukan Johor yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Dalam perkembangan lain, pasukan Harimau Selatan mengumumkan Nike sebagai pembekal kit untuk kedua-dua pasukan bermula musim depan selama dua tahun bermula dari 2014.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib