Wednesday, 30 October 2013

11 individu ditahan bantu polis siasat kes tembak pegawai Ambank

Isteri dan anak suspek Ardi Hamza.
Seramai 11 individu dipercayai ahli keluarga dan rakan suspek utama kes pembunuhan kakitangan AmBank ditahan sehingga kini, di dua negeri bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Semua suspek iaitu lima perempuan dan enam lelaki berusia 24 hingga 44 tahun itu ditahan di Selangor dan Johor termasuk tiga daripada mereka ditangkap ketika hari pembunuhan itu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, ketika mengesahkan perkara itu berkata, tangkapan terbaru membabitkan seorang lelaki di Johor petang kelmarin, manakala yang lain ditangkap di Selangor.

“Semua mereka yang juga warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan polis kerana percaya individu terbabit turut mempunyai kaitan dalam kejadian pembunuhan Rabu lalu.

“Siasatan sehingga kini masih dijalankan dan beberapa lagi individu lain termasuk suspek utama masih menjadi buruan polis,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya pada jam 6.20 petang, Rabu lalu, kakitangan AmBank, Norazita Abu Talib maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya.

11 orang ditahan untuk bantu siasatan.
Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal berkenaan yang sebelum itu dibuka mangsa untuk menyimpan wang.

Akhbar semalam melaporkan, akaun Facebook dipercayai milik suspek utama pembunuhan itu mula menjadi perhatian orang ramai sejak Ahad lalu.

Laman itu yang menggunakan nama Ardi Ode Putra Katela menggunakan gambar profil mirip wajah suspek yang diedarkan polis sejurus pembunuhan berlaku.

Ditanya sama ada suspek utama sudah melarikan diri ke negara jiran melalui jalan tikus sejak kes berkenaan, Abdul Rahim menolak andaian berkenaan, sebaliknya beliau menjelaskan suspek dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ia berdasarkan kawalan ketat di semua pintu sempadan sama ada laluan tikus atau laluan utama, sekali gus menghalang buruan polis itu meloloskan diri.-bh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib