Thursday, 5 September 2013

Pelajar terjatuh dari tingkat 3 dilaporkan stabil

Mangsa dilaporkan stabil.
Kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sira, dekat ini yang parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan mendapat perhatian Adun Semambu, Lee Chean Chung yang mengunjungi mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dekat sini, semalam.

Chean Chung berkata, keadaan pelajar tersebut semakin stabil memandangkan kepala dan badannya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, dan hanya sedikit parah memandangkan kedua belah tangan dan juga pergelangan kaki kirinya patah.

“Pihak kami sedia membantu mangsa dan keluarga berkenaan sekiranya diperlukan.

"Setakat ini mereka masih terkejut dengan kejadian itu memandangkan pelajar tersebut merupakan seorang yang sentiasa ceria, malah langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mempunyai tekanan sebelum kejadian," katanya.

Katanya, sehingga kini keluarga masih lagi tidak tahu punca mangsa bertindak demikian dan menunggu masa yang sesuai untuk menyoal mangsa.

“Mereka tidak seratus peratus menyalahkan pihak sekolah dalam insiden berkenaan tetapi begitu terkilan memandangkan tahap keselamatan sekolah berkenaan tidak diberi perhatian sepenuhnya sehingga membolehkan kejadian begini berlaku lagi,” katanya ketika ditemui di HTAA.

Dalam pada itu, menurut Chean Chung, ibu bapa pelajar malang tersebut bercadang akan memindahkan anak mereka ke sekolah lain selepas siasatan penuh selesai.

“Namun kita masih belum tahu punca sebenar dan biar pihak polis dan pihak pengurusan menjalan siasatan lanjut berhubung motif kejadian pelajar terbabit bertindak sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Chean Chung juga berkesempatan melawat tempat kejadian dan berjumpa dengan pihak sekolah, semalam.

Beliau menyarankan agar pihak sekolah mempertingkatkan tahap keselamatan agar kejadian pelajar jatuh daripada bilik darjah tidak berulang kembali.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib