Sunday, 8 September 2013

Malaysia bermula langkah kanan kalahkan Singapura

Zubir Azmi bersaing dengan pemain Singapura.
MALAYSIA bermula dengan langkah kanan pada Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 selepas mencatat kemenangan tipis, 1-0 ke atas negara jiran, Singapura pada aksi pembukaan di Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.
   
Kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu masing-masing sebaik sahaja pengadil perlawanan dari Thailand, Teetichai Nualjan meniup wisel permainan, namun gagal mencari gol pendahuluan.
   
Percubaan terbaik Malaysia yang diwakili oleh skuad Harimau Muda A pada kejohanan itu muncul menerusi sepakan percuma oleh penyerang, Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-36, namun ditepis keluar penjaga gol Singapura, Muhammad Syazwan Buhari.
   
Pemain gantian Singapura, Muhammad Khairul Nizam hampir mencemaskan pintu gol skuad negara menerusi tendangan dari dalam kotak penalti pada masa tambahan separuh masa pertama namun berjaya ditampan Mohd Izham Tarmizi Selamat yang mengawal kubu skuad negara.
   
Keadaan padang yang becak akibat hujan lebat sebelum perlawanan bermula, nyata menyukarkan kedua-dua pasukan untuk mencari gol pembukaan sehinggalah berakhir babak pertama.
    
Bersambung separuh masa kedua, skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang, A Thamil Arasu yang memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan melepasi jangkauan Muhammad Syazwan pada m-46.
   
Singapura terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada m-55 selepas Muhammad Afiq Yunos diperintahkan keluar padang oleh Teetichai kerana menghalang bola menggunakan tangan, sekaligus menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia.
   
Wan Zack Haikal yang tampil mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakannya selepas sepakan lemahnya berjaya ditepis keluar Muhammad Syazwan.
   
Kedua-dua pasukan terus mengasak ke kubu masing-masing namun buntu mencari gol untuk menyaksikan Malaysia berjaya memungut tiga mata penuh.
   
Malaysia dijadualkan bertemu Myanmar pada perlawanan kedua, Isnin ini sebelum menamatkan aksi peringkat awal dengan menentang musuh tradisi, Thailand pada Rabu dan kedua-dua aksi tersebut akan berlangsung di venue yang sama.
   
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan sehari ke Kuantan, sempat meluangkan masa kira-kira 15 minit bertemu dengan pemain Malaysia di bilik persalinan pemain.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib