Thursday, 5 September 2013

Liga Malaysia bakal musnah kerana wang - Annuar Musa

Tan Sri Annuar Musa
SEKIRANYA wang dianggap segala-galanya, maka wang jugalah yang akan membunuh Malaysian Super League  (MSL) tidak lama lagi.
Demikian pandangan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata demikian setelah melihat prestasi semasa beberapa pasukan elit yang mempamerkan mutu permainan hambar dan paling ketara, skuad Selangor sehingga memaksa bekas pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan meletakkan jawatan ketua jurulatih Red Giants ekoran kegagalan gergasi bola sepak itu merangkul sebarang kejayaan dalam musim ini di samping menghuni tangga tercorot Kumpulan A kempen Piala Malaysia.
Menurut Annuar, apabila kos dan gaji melambung tinggi yang tidak seimbang dengan pendapatan, ia sekali gus akan membunuh kelab dan liga bola sepak kerana separuh dari kekuatan pasukan terletak pada semangat dan minda.
"Sesetengah pasukan sudah terasa bahang suasana perpindahan bola sepak Malaysia yang sangat longgar dan tidak kemas. 

Liga Super Malaysia
"Malah tawaran kepada sesetengah pemain juga sudah bermula dan ramai yang mula memikirkan mengenai tahun 2014 sehingga berlaku krisis dalam beberapa pasukan sedangkan separuh dari kekuatan pasukan terletak pada semangat dan minda," katanya menerusi laman Facebook baru-baru ini.
Sebelum ini, prestasi pemain dalam beberapa pasukan elit dipertikaikan kerana gagal mempamerkan persembahan seperti yang diharapkan. 
Malah ada yang beranggapan gangguan pihak luar mungkin antara punca fokus sebahagian pemain terganggu sepanjang kempen kali ini.
Hal ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad Mokhtar yang menganggap kemungkinan pemain menerima tawaran lumayan daripada pasukan lain yang menyebabkan mereka menampilkan aksi sambil lewa.
Tambahnya, ada juga pemain berasa sudah berada di penghujung karier dan mendapat tawaran lebih lumayan dari pasukan lain.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib