Thursday, 5 September 2013

FAM gantung pemain Kelantan 2 tahun terlibat dadah

Zamri Ramli
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman gantung perlawanan selama dua tahun terhadap pemain pertahanan Kelantan, Zamri Ramli selepas didapati bersalah mengambil dadah jenis methamphetamine pada aksi akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) , 29 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak berkata, pemain tersebut dilarang menyertai sebarang aktiviti bola sepak namun mempunyai peluang membuat rayuan.

“Hasil keputusan jawatankuasa, pemain tersebut yang hanya diletakkan sebagai pemain simpanan pada aksi akhir Piala FA didapati bersalah kerana menggunakan bahan terlarang jenis methamphetamine.

“Mengambil kira faktor umur, latar belakang dan aspek keluarga pemain, hukuman dua tahun dikenakan kepada pemain tersebut berbanding hukuman maksimum gantung seumur hidup.

“Kita juga memberi peluang 14 hari untuk pemain tersebut membuat rayuan atas hukuman yang dikenakan,” katanya.

Taufek berkata, hukuman ini sebagai pengajaran kepada mana-mana pemain agar tidak terbabit dengan penyalahgunaan bahan terlarang hingga menjejaskan karier dan masa depan.


Kelantan juara Piala FA 2013 selepas kalahkan Johor DT.
“FAM memandang serius perkara seumpama ini dan mengharapkan ia menjadi iktibar kepada pemain.

“Hukuman yang dikenakan bukan untuk menganiayai pemain tetapi memastikan ia tidak menjadi ikutan kepada pemain lain,” katanya.

Sementara itu Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang ditemui di Wisma FAM menjelaskan pihaknya akur dengan keputusan tersebut dan mungkin akan membuat rayuan.

“Kita akur dengan keputusan terbabit dan mungkin akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan,” katanya.

Pemain pertahanan Kelantan itu sebelum ini disebut-sebut sebagai antara pemain yang disyaki gagal ujian doping selepas perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Namun, pada perlawanan akhir Piala FA yang dimenangi Kelantan, Zamri  tidak beraksi sebaliknya hanya menghuni bangku simpanan.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib