Thursday, 5 September 2013

AirAsia nafi naik caj kad kredit sebab harga bahan api

Air Asia nafi kena caj sebab harga minyak meningkat.
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd (AirAsia) menafikan caj pemprosesan bayaran dalam talian dikenakan ke atas kad kredit, kad debit dan debit terus adalah disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel, seperti didakwa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Menurut AirAsia, caj RM8 bagi pembayaran melalui kad kredit, kad debit dan kad caj yang dikenakan untuk setiap penumpang dalam satu tempahan bagi setiap hala penerbangan telah berkuatkuasa sejak November 2009.

"Bagi debit terus pula, caj pemprosesan RM4 dikenakan dan mula berkuatkuasa 7 Ogos 2013. Caj ini dikenakan bagi setiap satu tempahan penerbangan.

"AirAsia tidak ada menerima apa-apa pertanyaan daripada PPIM mengenai caj pemprosesan ini dan kami tidak memberikan kenaikan harga bahan api sebagai alasan bagi pelaksanaan caj pemprosesan tersebut," menurut AirAsia dalam satu kenyataan.


Harga petrol dan diesel naik sejak isnin minggu ini.
Menurut syarikat itu, caj pemprosesan dikenakan bagi menampung sebahagian daripada kos yang diperlukan bagi proses menaik taraf, pembaikan dan peningkatan ciri keselamatan bagi pembayaran dalam talian.

Ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan sebelum ini berkata, persatuan itu menerima 60 aduan mengenai caj tersembunyi dalam pembelian tiket AirAsia, dengan aduan dihantar di laman web dan melalui surat kepada PPIM.

"Kami hubungi AirAsia (Isnin lalu) untuk bertanya mengenai caj tersembunyi ini dan wakil syarikat itu memaklumkan caj itu dikenakan sebab harga petrol dan diesel meningkat," menurut Nadzim seperti dilaporkan media.

Nadzim juga menggesa kerajaan memperkenalkan mekanisme untuk memantau syarikat penerbangan berhubung caj tersembunyi yang dikenakan kepada pengguna.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib