Thursday, 29 August 2013

Irfan Bakti letak jawatan jurulatih Selangor

Irfan Bakti
SUDAH jatuh ditimpa tangga. Perumpamaan tepat untuk menggambarkan situasi genting yang dihadapi Selangor ketika ini apabila Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad Gergasi Merah seperti digembar-gemburkan semalam.

Difahamkan, punca utama Irfan membuat keputusan mengejut itu ekoran prestasi hambar skuad kendaliannya dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kemuncak rasa kecewa Irfan sukar dibendung lagi apabila Gergasi Merah tumbang di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby apabila tewas 0-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Lantas, Irfan percaya keputusan melepaskan jawatan itu adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan masa depan Selangor dalam mengharungi baki kempen Piala Malaysia musim ini.

Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Perak itu mengakui, kekalahan besar kepada Sime Darby antara faktor utama mengapa beliau melepaskan jawatannya.

“Saya akui kecewa dengan kekalahan semalam (kelmarin). Benar kekalahan sudah menjadi lumrah buat jurulatih tetapi kekalahan itu begitu ‘menakjubkan’.

“Benar saya telah menghantar surat peletakkan jawatan kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.

“Mereka (FAS) menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Saya amat kecewa ketika ini tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal.

“Saya tidak salahkan kepada anak-anak buah saya kerana mereka telah memberikan aksi terbaik,” jelas Irfan semalam.

Irfan menambah, pembantu jurulatih Selangor, P. Maniam akan mengambil alih tugas beliau buat sementara waktu.

“Maniam akan mengambil alih tugas saya dan saya percaya beliau merupakan individu yang sesuai untuk meneruskan perjuangan Selangor dalam kempen Piala Malaysia “Meskipun ada baki kontrak selama tiga bulan, saya sudah fikir masak-masak (untuk melepaskan jawatan),” katanya.

Irfan memulakan tugas bersama Selangor selepas mengambil alih tugas daripada K. Devan pada 2011. Sebelum membimbing skuad Gergasi Merah, Irfan pernah mengendali beberapa pasukan tempatan, antaranya Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib