Monday, 8 July 2013

Khairy cadang atlet terlibat kes rogol digantung

Khairy cadang gantung atlet yang terlibat kes rogol.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan supaya ketiga-tiga atlet yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang pegawai pengiring atlet bola baling wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2013 digantung dahulu sementara siasatan dijalankan.

Khairy berkata, meskipun kes ini telah dilaporkan kepada polis dan ia nya adalah di bawah siasatan polis sekarang ini, namun disebabkan atlet itu merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), beliau merasakan tindakan awal perlu diambil terhadap atlet tersebut.

“Semua ketiga-tiga yang terlibat iaitu atlet daripada pasukan bola baling lelaki Wilayah Persekutuan telahpun ditangkap dan masih berada di dalam tahanan reman. Buat masa ini kita masih menunggu keputusan siasatan.

“Walau bagaimanapun, oleh kerana atlet ini merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab MSWP, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, untuk mengambil tindakan awal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Atlet bola baling dikaitkan dengan kes rogol.-gambar hiasan
Sebelum ini, sebuah akhbar media arus perdana melaporkan pegawai pengiring atlet berkenaan mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu lalu.

Laporan sama turut menyebut, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan meneguk minuman keras bersama beberapa atlet bola baling lelaki pasukannya di sebuah gelanggang bola keranjang bagi menghilangkan tekanan setelah pasukan mereka kalah dalam perlawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Ekoran kejadian, wanita berkenaan telah membuat laporan polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan perkara tersebut dan ketiga-tiga atlet berusia 18 hingga 19 tahun terbabit kini direman seminggu bermula tangkapan.

"Kita percaya tiga individu ini ada maklumat yang kita perlukan bagi menyiasat kes tersebut.

"Kita tak boleh dedahkan apa-apa lagi kerana siasatan sedang dijalankan menjurus pelbagai aspek mengikut Seksyen 376 kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Sementara itu, Khairy turut meluahkan rasa terkilan dengan insiden terbabit.

Sementara itu, ketika memetik komen Khairy dari laman sosial Facebooknya, Khairy turut menambah, saranan supaya atlet berkenaan digantung turut disampaikan kepada Persekutuan Bola Baling Malaysia.

"Lagipun, kejadian tersebut didahului dengan satu lagi insiden yang melanggar disiplin dan juga tataetika Sukan Malaysia.
 
"Beberapa atlet dan pegawai daripada pasukan bola baling lelaki Wilayah Persekutuan telah membawa masuk minuman keras ke dalam UPM yang menjadi perkampungan Sukan Malaysia.

“Mereka telah minum minuman tersebut di Gelanggang bola keranjang Kolej Kedua UPM. Saya memandang serius perkara ini," katanya.

Mengula perkara sama, Khairy turut mengarahkan agar MSN membuat satu "post-mortem" segera supaya kejadian tersebut tidak berulang pada mana-mana temasya kebangsaan akan datang.

"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, sudah tentu saya merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian ini telah mencacatkan temasya ini yang telah berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar.

“Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu,” jelas beliau.

Khairy turut menjelaskan, Jawatankuasa Pengelola sememangnya mengadakan kawalan yang begitu ketat di tempat penginapan peserta. Malah katanya, kerjasama daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut digunakan untuk menjaga aspek ini termasuk Unit Keselamatan UPM.

“Prosedur penempatan adalah mengikut prosedur UPM sendiri dan mereka amat ketat dalam mengawal penempatan terutama dalam memisahkan blok asrama lelaki dan wanita.

"Pengawal dan anggota polis sentiasa membuat rondaan kawasan terutama di sebelah malam tetapi ia tidak meliputi dalam kawasan asrama kerana menjadi tanggungjawab anggota kontinjen sendiri.
 
"Oleh kerana itulah, setiap pasukan mempunyai pegawai-pegawai terdiri daripada pengurus, penolong pengurus, jurulatih dan sebagainya. Mereka bertanggung jawab penuh kepada anggota pasukan mereka termasuk hal-hal keselamatan dan disiplin," ujar Khairy lagi.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib