Tuesday, 11 June 2013

Trauma kereta dirosakkan mat rempit

Kereta mangsa yang dirosakkan.
Hanya kerana salah faham, tiga sekawan terpaksa menempuh detik mencemaskan apabila dikepung dan diserang sekumpulan ‘mat rempit’  ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Tambun berhampiran Hospital Pantai Puteri, di sini, malam minggu lalu.

Kejadian sekitar jam 4 pagi itu turut mengakibatkan salah seorang daripada mereka mengalami cedera parah setelah  dibelasah teruk oleh kumpulan berkenaan.  

Mangsa, B Patmaraj, 28, dilaporkan mengalami kecederaan serius di dada serta kepala dipercayai akibat hentakan topi keledar serta alatan kunci motosikal.  

Sehingga semalam, Patmaraj dilaporkan masih tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke wad awal pagi Ahad lalu dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Mengimbas detik mencemaskan itu, salah seorang rakan mangsa K Yogan, 32, berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke Simpang Pulai setelah  menjamu selera di sebuah restoran di bandar raya.
Menurut nya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat tersebut, mereka mendapati keadaan menjadi sesak dengan kehadiran puluhan penunggeng motosikal  hingga mengakibatkan mereka tersekat di situ.
Mat rempit berkumpul beramai-ramai untuk berlumba.
“Kami tidak dapat bergerak kerana mereka terlalu ramai. Oleh itu, kami sekadar duduk di dalam kereta sambil berbual sesama sendiri serta mendengar lagu.
“Bagaimanapun dengan tidak semena-mena seorang daripada penunggang motosikal itu  menendang kereta yang kami naiki dari arah belakang sambil menunjukkan  isyarat agar kami keluar daripada kereta,” katanya.

Yogan berkata, penunggang motosikal itu seolah-olah tidak berpuas hati dengan gelagat mereka bertiga yang didakwanya seakan mengejek mereka.
Katanya, penunggang motosikal itu kemudiannya memanggil rakan-rakannya yang lain dan dalam sekelip mata kereta yang mereka naiki 'terkepung' dengan puluhan motosikal selain ada di antara mereka yang menendang kereta, menghentak topi keledar hingga ada yang menaiki bumbung kereta berkenaan.
“Mereka (mat rempit) bertindak ganas dengan memecahkan cermin kereta serta memukul kami yang berada di dalam kereta. Saya sendiri terperosok di dalam kereta diterajang oleh kumpulan berkenaan.
“Lebih malang apabila rakan saya, Patmaraj yang keluar untuk melarikan diri berjaya dicekup oleh kumpulan berkenaan sebelum dibelasah tanpa belas kasihan sebelum seorang lagi rakan saya berjaya melarikan diri.

“Saya telah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kelmarin dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengenal pasti mat rempit yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, M Balakrishnan, 60 berkata, sudah tiba masanya tindakan sekeras-kerasnya dikenakan kepada golongan mat rempit berkenaan.
Katanya, insiden melibatkan golongan ‘mat rempit’ ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan malah pernah mengakibatkan kesan yang lebih serius.
Oleh itu menurutnya, semua pihak termasuk pihak polis, orang ramai malah pihak kerajaan sendiri perlu bekerjasama bagi membendung dan seterusnya membasmi kegiatan ini daripada terus berleluasa.

“Bagi saya, perkara seperti ini bukan hanya melilbatkan pihak polis semata-mata, tetapi pihak kerajaan juga perlu ‘turun padang’ bagi membasmi kegiatan ini.

“Sudah tiba masanya ‘mat-mat rempit’ ini dikenakan tindakan tegas supaya perkara-perkara seperti ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bapa mertua mangsa, K Ananthan, 47, pula berkata, dirinya agak pelik kerana dalam tempoh setengah jam, kumpulan mat rempit berkenaan ‘bermaharajalela’ dengan merosakkan kereta serta membelasah menantunya,
Patmaraj, tidak kelihatan pun anggota polis di kawasan berkenaan.

Katanya, adalah mustahil pihak polis tidak melakukan rondaan di kawasan berkenaan, kerana seringkali diadakan sekatan jalan di situ.

“Saya bukan pertikaikan tugas polis, tetapi saya sangat berharap agar perkara sebegini diberi perhatian serius. Bagaimana kawasan berhampiran sebuah hospital boleh dipenuhi dengan golongan ‘mat-mat rempit’ ini?

“Dah banyak kali perkara  seperti ini berlaku dan golongan mat rempit ini pun semakin hari semakin banyak,” katanya lagi.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib