Wednesday, 26 June 2013

Penyokong kelantan merusuh gagal dapat tiket final Piala FA

Orang beratur untuk dapatkan tiket.
Ribuan penyokong The Red Warriors yang berang merempuh pintu utama stadium selepas tiket perlawanan akhir Piala FA habis dijual dalam tempoh lima minit sejurus kaunter jualan mula dibuka 9.30 pagi, semalam.

Situasi tersebut menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong The Red Warriors yang kebanyakan mula beratur di kaunter jualan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini seawal pukul 6.30 pagi untuk membeli tiket tersebut.

Mereka yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang disifatkan tidak berlaku adil dengan tindakan tersebut.

Penyokong berang tiket diberitahu habis.
Seorang penyokong, Mohd. Hamdan Abdul Mutalib, 37, mempersoalkan bagaimana tiket tersebut boleh habis dijual dalam tempoh lima minit sebaik sahaja kaunter jualan dibuka.
Menurutnya, dia hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan tiket mula dijual kepada penyokong mulai semalam.

“Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku. Setiap kali Kelantan beraksi pada perlawanan akhir kejadian ini pasti berulang dan saya teramat kecewa dengan tindakan KAFA ini.

“Selaku penyokong saya rasa tertipu dengan tindakan ini. Saya beratur seawal pukul 7 pagi semata-mata untuk mendapatkan tiket final, namun apa yang ada hanyalah tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang.

“Tindakan KAFA berbuat demikian bukanlah sesuatu yang bijak. Tiket final sepatutnya dijual secara berasingan dengan perlawanan biasa, ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter jualan," katanya di sini, semalam.

Mohd. Hamdan mendesak KAFA memberikan penjelasan kepada penyokong berhubung insiden tersebut.

Seorang lagi penyokong, Nurul Azuan Zulkifli, 23, memberitahu apa yang mengejutkannya, ada beberapa individu yang bertindak sebagai ulat menjual tiket final dengan harga tinggi daripada harga asal.

“Saya terkejut, bagaimana ulat boleh mendapat tiket-tiket final, sedangkan pengumuman yang dibuat pada pukul 10.30 pagi memberitahu tiket telah habis terjual.

“Bukan itu sahaja, tiket tersebut dijual dengan harga antara RM45 hingga RM80 untuk sekeping," ujarnya.

Tinjauan mendapati, lebih 1,000 penyokong Kelantan beratur panjang untuk membeli tiket final, bagaimanapun gagal selepas tiket berkenaan habis dalam tempoh lima minit.-Utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib