Wednesday, 5 June 2013

Pelakon S Shamsuddin meninggal ketika sarapan bersama isteri

S Shamsudin meninggal ketika usia 84 tahun.
Pelakon veteran era 50an S Shamsudin meninggal dunia ketika sedang menikmati sarapan bersama isterinya Puteh Ismoon di rumah mereka di Bukit Batok, Jurong di sini.
   
Puteh, 77, berkata beliau sebelum itu baru sahaja menyuap mee rebus kepada arwah yang duduk di atas katil sebelum arwah memintanya mengambil air di dapur.
   
"Apabila saya kembali semula ke bilik, saya tengok arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan saya terus menjerit memanggil anak bongsu saya yang berada di bilik sebelah untuk melihat keadaan ayahnya.
   
"Ipin (anak bongsu) cuba beberapa kali memberikan bantuan pernafasan tetapi arwah masih tidak sedar sehinggalah apabila dibawa ke hospital doktor mengesahkan arwah telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di kediaman mereka. 

Puteh yang kelihatan cukup sedih, menyifatkan Shamsuddin sebagai seorang suami yang baik dan bapa yang amat penyayang kepada anak-anaknya seramai tujuh orang.
   
"Arwah di rumah merupakan seorang yang pendiam walaupun di luar orang nampak beliau suka membuat lawak. Namun arwah merupakan seorang bapa yang penyayang.
   
"Sejak terlantar sakit kebelakangan ini, arwah suka merenung muka saya dan pagi tadi sebelum saya ke pasar arwah sempat meminta saya membersihkan dirinya.
   
"Selepas ini tiada lagilah teman saya untuk bercakap," katanya tidak dapat menahan sebak.


Filem Bujang Lapok S.Shamsuddin bersama P.Ramlee.
Sementara itu, anak bongsu Allahyarham Mohamed Ariffin, 44, berkata ketika kejadian beliau berada di biliknya kemudian mendengar ibuya menjerit memaklumkan tentang keadaan ayahnya.

"Apabila saya sampai di biliknya, saya lihat arwah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mukanya juga pucat. Saya cuba memberi pertolongan pernafasan beberapa kali sebelum ambulans sampai, namun arwah tidak memberikan sebarang reaksi.
   
"Apabila pasukan perubatan sampai, mereka juga beberapa kali cuba memberikan bantuan sehinggalah dibawa ke National University Hospital dan akhirnya doktor mengesahkan ayah telah meninggal dunia," katanya.
   
Katanya, doktor mengesahkan ayahnya meninggal dunia akibat serangan sakit jantung kira-kira 10.56 pagi.
   
Katanya arwah sebelum ini terlantar sakit hampir tiga tahun akibat menderita penyakit parkinson dan batuk kering.
   
Jenazah yang dibawa pulang ke rumahya dijangka akan dikebumikan esok di Pusara Abadi Chua Chu Kang, kira-kira pukul 10.30 pagi.

Antara yang hadir menziarahi jenazah ialah pelakon veteran seangkatan Allahyarham, Wahid Satay atau nama sebenarnya Abdul Wahid Ahmad, 83.
   
Beliau yang menganggap arwah sebagai abang kandungnya, cukup terasa dengan pemergian Allahyarham yang selama ini banyak membantunya semasa zaman lakonan di Studio Jalan Ampas.
   
"Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ialah semasa majlis penghargaan artis veteran bersama bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib