Wednesday, 19 June 2013

Najib bentang Bajet 2014 pada 25 Oktober

Datuk Seri Najib Tun Razak
Bajet 2014 akan dibentangkan di Parlimen 25 Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, mulai hari ini setiap isu dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak berkepentingan akan diberi pertimbangan sewajarnya sebagai input penyediaan bajet tersebut.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kewangan awam dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.

''Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh saya sendiri, beberapa menteri yang terpilih dan ketua-ketua jabatan," katanya ketika berucap merasmikan majlis Konsultasi Bajet 2014 di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Tema majlis perundingan itu ialah Mengotakan Janji, Merancakkan Transformasi.


Bajet 2014 akan dibentangkan di parlimen.
Mengulas mengenai majlis perundingan itu, Najib berkata, kira-kira 96 memorandum telah dikemukakan meliputi pelbagai aspek makro, isu-isu sektoral dan sosial kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.

Beliau percaya antara 96 memorandum itu, sebahagian daripadanya akan dipertimbangkan khususnya yang selaras dan sesuai dengan matlamat utama kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

''Matlamat itu tertumpu kepada dua elemen iaitu merancakkan ekonomi negara dan menentukan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

''Malah, bajet tahun ini adalah suatu yang amat penting kepada kerajaan yang telah diberi mandat baharu untuk memenuhi aspirasi rakyat," kata beliau.

Tegas Najib, kerajaan berada di kedudukan yang betul untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas kepada empat peratus tahun ini.

''Sasaran kita ialah untuk memenuhi sasaran fiskal jangka sederhana kira-kira tiga peratus daripada KDNK pada 2015 tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi domestik dan sokongan fiskal berterusan bagi inisiatif transformasi.

''Ini akan dicapai melalui gabungan berhemah yang bijak tetapi perbelanjaan produktif dan pengukuhan langkah-langkah peningkatan hasil yang termasuk pulangan cukai yang lebih baik dan penguatkuasaan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyedari cabaran yang dihadapi sektor ekonomi negara terutama dalam pembangunan potensi pertumbuhan sektor perkhidmatan, meningkatkan modal insan, pengurusan bakat terutama bagi wanita dan belia serta menguruskan pembaharuan fiskal.

''Bidang-bidang berkenaan perlu ditangani dengan sewajarnya untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif," katanya.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib