Monday, 17 June 2013

Kemalangan kereta Viva ragut 3 nyawa

Kereta mangsa yang rosak teruk.
Tiga daripada empat pelajar universiti maut selepas sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 14.5, Lebuh Raya Persekutuan di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan pada pukul 5.15 pagi itu, pemandu, Adam Ab. Rahman bersama Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan yang duduk di bahagian penumpang belakang mati di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Nurfarina Mokhtar yang duduk di sebelah pemandu bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa berusia 18 tahun dan mereka baharu mendaftar masuk ke universiti dua minggu lalu.

Mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Adam merupakan pelajar Diploma Pengajian Sukan di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang; Ameer (pelajar asasi jurusan perakaunan di UiTM Shah Alam), Nurul Maizura (pelajar asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia) dan Nurfarina (pelajar asasi Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, UiTM Shah Alam).

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendnn Ruslan Abdullah berkata, ketika kejadian, empat sahabat tersebut dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Shah Alam dipercayai selepas mengunjungi taman tema i-City di sini.

Menurutnya, setiba di lokasi, kereta berwarna kuning itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.


Gambaran grafik dalam kcelakaan semalam.
"Akibat daripada rempuhan kuat, bonet kereta yang terperosok di bawah pembahagi jalan rosak teruk dan dinding kereta sebelah kanan terkopak menyebabkan pemandu dan seorang penumpang wanita yang duduk di belakang tercampak keluar.

"Dua mangsa lagi ditemui dalam kenderaan tersebut namun seorang daripada mereka telah meninggal dunia kerana cedera parah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ruslan memberitahu, kesemua mangsa yang maut akibat cedera parah di kepala dan anggota badan manakala mangsa yang cedera ringan hanya luka serta lebam di muka.

Katanya, tiga pelajar yang maut kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat manakala seorang lagi yang cedera dirawat di hospital sama.

"Setakat ini, pihak kami sedang berusaha mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut sama ada kereta itu dipandu laju atau pemandunya mengantuk atau cuba mengelak sesuatu objek di lokasi kejadian," katanya.

Difahamkan, kira-kira sehari sebelum kejadian, Adam dari kampus UiTM, Jengka Pahang datang ke Selangor menaiki kereta terbabit untuk berjumpa dengan rakan-rakannya itu yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti.

Empat sahabat tersebut kemudian dikatakan bersiar-siar di sekitar Shah Alam dan selepas mengunjungi i-City di sini, mereka dipercayai mahu ke ibu kota untuk membeli barang keperluan namun tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan.

Adam berasal dari Muar, Johor; Ameer (Jasin, Melaka), Nurul Maizura (Wilayah Persekutuan Labuan) dan Nurfarina (Tanah Merah, Kelantan).-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib