Friday, 31 May 2013

Tragedi bot karam : 6 lagi mangsa diselamatkan

Kedudukan penumpang dalam bot yang melebihi had.
Enam lagi mangsa bot ekspres Kawan Mas yang karam di Tanjung Giam Bungan, Sungai Rajang di sini, Selasa lalu, yang disenaraikan hilang sebelum ini ditemui selamat dan sudah balik ke rumah panjang masing-masing. Mereka dikenali sebagai Anuar Margaret, Mejerin Bantan, Ricky Sunus, Welson Lat dan Wesly Belaja Nelson.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang, berkata semua yang terselamat itu sudah membuat laporan di Balai Polis Kapit, semalam.

Dua lagi iaitu Akong Empam dan Hendry Linggi juga sudah disahkan selamat dan sudah berada di kediaman masing masing.

Sementara itu, Ejang anak Nabau yang sudah balik ke rumah panjangnya tampil membuat laporan di Balai Polis Kapit, malam tadi.

Berikutan itu, hanya empat lagi yang disenaraikan hilang iaitu Maurice Ajan, Simon Patrick, Roslin Jati serta seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Paulus.

Sementara itu, mayat seorang mangsa bot karam ditemui dua kilometer dari tempat kejadian, pagi semalam. Mayat mangsa, Tujok Lah, 44, yang berasal dari Nanga Merit, Kapit, ditemui terapung berhampiran rumah panjang Uma Tevok oleh penduduk kampung dan pasukan mencari serta menyelamat pada jam 7 pagi.

Pegawai Medan Operasi yang juga Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Bakar Sebau berkata, mayat berkenaan kini dihantar ke Klinik Kesihatan Belaga untuk bedah siasat.

“Itu mayat pertama yang kita jumpa setakat ini dan ahli keluarga mangsa sudah pun dimaklumkan mengenai penemuan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, setakat ini operasi mencari mangsa lain yang dilaporkan hilang diteruskan pasukan penyelamat, sementara menunggu tongkang yang mempunyai kemudahan kren tiba di lokasi kejadian.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini, 191 mangsa bot karam itu selamat dan lima belum ditemui. Ini maklumat rasmi yang kita terima setakat ini sehingga jam 10.20 pagi ini,” katanya.

Bakar mengingatkan penduduk di sepanjang pinggir Sungai Rajang supaya mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan air dari empangan hidroelektrik Bakun dilepaskan untuk menaikkan paras sungai.

Langkah itu, katanya, perlu untuk memudahkan kerja mengangkat bot ekspres karam itu selain memudahkan pemeriksaan sama ada terdapat mayat yang terperangkap di dalamnya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib