Tuesday, 21 May 2013

Sentiasa awasi beg ketika ke luar negara

Perlu sentiasa awasi beg ketika di luar negara.

Rakyat Malaysia yang berkunjung ke luar negara diingatkan sentiasa peka dalam memastikan bagasi dibawa milik sendiri dan tahu kandungan bagasi.
Nasihat itu diberikan Konsul Jeneral Malaysia di Medan Ahmad Razian Abd Ghani berikutan wujud kecenderungan rakyat negara ini ditipu sindiket dadah antarabangsa.
“Statistik rakyat Malaysia ditangkap di Indonesia kebanyakannya membabitkan kes dadah.
“Berikutan itu, Kementerian Luar dan agensi berkaitan sering mengadakan program bagi memberi kesedaran kepada rakyat kita untuk memastikan mereka memahami pentingnya sentiasa menjaga bagasi dibawa.
“Jangan sesekali terpedaya dengan permintaan orang lain supaya menjaga bagasi mereka kerana itu boleh menyebabkan kita diperangkap,” katanya ketika ditemui di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sini.
Hadir sama Presiden Islamic Aid Malaysia (AIM), Zawahir Abdullah, Konsul Muda Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Nor Azhar Hajis dan Setiausaha IAM, Farouq Zauji.
Ahmad Razian berkata, tawaran seperti melancong ke luar negara secara percuma antara modus operandi digunakan sindiket dadah antarabangsa bagi memperdayakan rakyat di negara ini, seterusnya membabitkan mereka dalam jenayah pengedaran dadah.
“Sindiket dadah antarabangsa biasanya menyasarkan wanita terutama ibu tunggal dengan menawarkan sejumlah wang bagi memerangkap mereka sebagai keldai dadah,” katanya.
Mengenai program ‘Jejak Tirai Besi’ yang dijalankan IAM, beliau berkata, ia program yang boleh dibanggakan berikutan IAM prihatin nasib keluarga banduan yang dipenjara di luar negara.
“Dalam hal ini, bantuan kita terbatas iaitu apabila rakyat Malaysia ditahan, kita perlu memastikan mereka mendapat keadilan sepanjang perbicaraan.
“Bagaimanapun, menerusi program seperti ini, keluarga banduan yang berada di Malaysia pasti kehilangan sumber pendapatan dan nasib mereka dibantu oleh IAM menerusi program ini.
“Berikutan itu, saya menyokong usaha ini dan berharap dapat bantuan pihak berkaitan dan korporat bagi memastikan program ini dapat dijalankan dengan lebih lancar,” katanya.-harian metro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib