Tuesday, 21 May 2013

Rumah adik Ketua Polis Negara dirompak

Mangsa diikat. - Gambar hiasan.

Adik perempuan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengalami kerugian apabila rumahnya di Mantin, dekat sini, dipecah masuk oleh lima perompak, awal pagi semalam. 

Antara barangan dilarikan perompak yang dipercayai warga asing ialah empat jam tangan, dua komputer bimbit, tujuh telefon bimbit, barangan kemas, kasut dan wang tunai kira-kira RM5,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, perompak terbabit dipercayai memasuki kawasan rumah mangsa dengan memotong pagar di tepi pintu utama dan belakang rumah, sebelum masuk ke rumah dengan memotong jeriji salah satu tingkap. 

Suaminya yang enggan namanya disiarkan berkata, perompak terbabit bersenjatakan parang, pisau pemotong daging, pemutar skru dan alat pemotong, menutup muka mereka dengan baju T, memasuki rumah tanpa mereka sedari. 

“Mereka mula-mula masuk bilik anak lelaki saya yang berusia 18 tahun. Anak saya hanya sedar daripada tidur dengan keadaan tangannya diikat, manakala keadaan bilik bersepah digeledah. 

“Dia yang diacu parang pada leher dan perut, diarahkan memanggil saya supaya membuka pintu bilik. Sebaik pintu dibuka, mereka menerpa ke arah saya dan mengacu parang ke leher dan terus diikat, manakala isteri yang ketakutan dibiarkan begitu saja,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mangsa yang juga kontraktor berkata, perompak terbabit dipercayai warga asing walaupun cuba bercakap bahasa Melayu dialek Pulau Pinang. 

“Mungkin tidak mahu identiti mereka diketahui, mereka kemudian hanya cakap ‘diam’ dan ‘steady’ berulang kali ketika menyuruh saya memberitahu lokasi barangan berharga dalam rumah,” katanya. 

Beliau berkata, perompak terbabit menggunakan taktik sama memasuki bilik anak perempuan berusia 22 tahun, tetapi lega tidak memasuki sebuah lagi bilik dihuni dua anak perempuannya, selepas diberitahu bilik itu dihuni dua anak lelaki berbadan besar. 

“Perompak berada di rumah selama 90 minit, iaitu hingga kira-kira jam 4.30 pagi. Sepanjang menggeledah rumah, saya dan ahli keluarga lain cukup tertekan. 

“Mujur mereka tidak mengapa-apakan kami,” katanya sambil menambah perompak terbabit melarikan diri menaiki sebuah kereta, yang menunggu di luar rumah yang terletak, di tepi Jalan Seremban-Mantin.-berita harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib