Wednesday, 15 May 2013

Polis tidak beri permit perhimpunan Black505

Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff
Polis tidak mengeluarkan sebarang permit berhubung Perhimpunan Rakyat atau Perhimpunan Black505 yang dikatakan bakal diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru esok.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kegagalan pihak penganjur mengemukakan permohonan 10 hari sebelum berlangsungnya perhimpunan menyebabkan permit tidak diluluskan.
 
“Saya difahamkan wakil daripada PKR ada hadir ke balai polis pada Sabtu lalu dan berjumpa dengan wakil Ketua Polis Daerah untuk memohon permit bagi mengadakan perhimpunan berkenaan pada Rabu depan.

“Namun, mereka jelas gagal mematuhi Akta Perhimpunan 2012 yang menggariskan sebarang permohonan perhimpunan memerlukan 10 hari sebelum berlangsungnya program,” katanya kepada media selepas Majlis Promosi E-Alerts dan Commalerts di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Ketika ditanya sekiranya pihak penganjur masih berdegil dan mahu mengadakan perhimpunan  itu, Mohd Mokhtar menjawab, penguatkuasaan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang gagal mematuhi undang-undang.

“Kita ada terima banyak keluhan daripada masyarakat yang rata-ratanya mahu keselamatan mereka dititikberatkan.

"Namun, apabila mereka membaca dalam laman web, blog dan sebagainya, mereka turut rasa tidak puas hati dan khuatir akan keselamatan mereka.

“Jadi, saya nasihatkan kepada pihak berkenaan supaya memahami akta tersebut. Kita minta mereka bagi kerjasama dan hormati undang-undang yang ditetapkan. Polis tidak akan bertindak sesuka hati, tetapi jika mereka masih degil, tindakan akan diambil,” katanya.

Terdahulu perhimpunan sama sebelum ini  turut berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dan Medan Istana Ipoh, Perak dan mereka yang hadir memakai baju berwarna hitam tanpa apa-apa simbol sebagai bantahan dan penolakan terhadap keputusan PRU13.

Mereka turut dijangka mengadakan perhimpunan sama di Padang Bola Mahkota Aman dekat Kuantan Pahang hari ini dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib