Thursday, 16 May 2013

Lelaki pekak ditangkap terlibat kes ragut

Pemuda dicekup polis. -Gambar hiasan.
Tindakan pantas orang ramai  memaklumkan kejadian samun yang berlaku di Jalan Megazine di sini malam tadi kepada polis berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki Orang  Kelainan Upaya (OKU) dalam tempoh 15 minit selepas kejadian berlaku.
   
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam  kejadian pada pukul 10.45 malam itu lelaki OKU yang cacat pendengaran  bersama rakannya meragut seorang wanita yang baru pulang kerja.
   
"Ketika kejadian wanita yang bekerja sebagai promoter itu  berjalan kaki sebelum dua lelaki berkenaan menghampirinya dan meragut  beg mangsa serta melarikan diri.
   
"Mangsa menjerit meminta tolong dan orang ramai yang berada di  tempat kejadian bertindak menghubungi polis memaklumkan kejadian samun  itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Katanya hasil maklumat berkenaan, polis berjaya mengesan lelaki  OKU berusia 34 tahun itu ketika menyorok di bawah sebuah jambatan  di  Sungai Pinang.

"Manakala rakannya berusia 22 tahun berjaya melarikan diri. Polis  menemui sebungkus biskut, sebotol termos dan sebotol taucu yang disamun daripada mangsa dari lelaki OKU berkenaan," katanya.
   
Gan berkata siasatan terhadap lelaki OKU itu mendapati dia  mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk kes penyalahgunaan dadah, pecah rumah dan curi.
   
Katanya lelaki itu yang juga positif dadah kini direman bagi  membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan  hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-dua  sekali. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib