Saturday, 18 May 2013

Khairy fokus cari pelapis Chong Wei dan Nicole David

Khairy Jamaluddin
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin bakal berhadapan dengan cabaran yang besar apabila dikhabarkan juara dunia Datuk Lee Chong Wei (LCW) dan Datuk Nicole Ann David bakal mengakhiri kerjaya mereka tidak lama lagi.

Menurut Khairy, pencarian pelapis dua bintang dunia itu antara agenda utama beliau dalam mengekalkan kecemerlangan negara dalam sukan yang diceburi Chong Wei dan Nicole.

"Saya jadi menteri pada masa kurang bertuah, apabila atlet juara dunia mahu mengakhiri kerjaya mereka.

"Saya akan bincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN), bagaimana untuk menguruskannya. Harapan rakyat tinggi bila dapat menteri baru dan muda," katanya pada sidang media pertamanya di KBS semalam.

Beliau berkata, setiap perubahan yang mahu dilakukan tidak boleh berlaku dengan sekelip mata begitu juga dalam melahirkan bintang baru dalam arena sukan.

"Saya tidak jadikan ini sebagai alasan tetapi itu realitinya. Dalam facebook, ramai yang minta saya bawa Malaysia ke piala dunia dengan kadar segera. Itu bukan sesuatu yang mudah.

Nicol David dan Lee Chong Wei
"Tetapi apa yang perlu dilakukan adalah buktikan pada rakyat bahawa hala tuju kita jelas.

"Saya sangat percaya dalam pembangunan sukan, dan pembangunan dalam komuniti sukan, macam mana kita menggunakan masyarakat , tidak kira diperingkat daerah, peringkat bandar. Pembangunan itu bukan hanya dilakukan di tempat yang formal sahaja seperti sekolah sukan atau MSN, tetapi datang daripada peringkat komuniti. Bermula dari kelab kemudian ke kumpulan profesional," katanya.

Bagaimanapun, katanya usaha Malaysia untuk memburu emas pertama di Sukan Olimpik sememangnya menjadi sasaran utama tetapi apa yang lebih penting adalah mencari pelapis Nicole David dan Lee Chong Wei.

"Pencarian itu bukan untuk lahirkan satu dua bintang sahaja tetapi banyak bakat-bakat baru.

"Kita akan gembleng tenaga dan kongsikan pengalaman mereka untuk mencungkil bintang baru. Sudah pasti mereka sangat istimewa dan tidak mampu untuk kita reka satu bintang yang benar-benar menyerupai mereka. Tetapi kita mampu mencari bakat baru  sehebat mereka," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, temasya Sukan Sea di Myammar penghujung tahun ini juga menjadi cabaran utama buatnya untuk menggalas harapan rakyat.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno, merancang mengadap Presiden dan Timbalan Presiden FAM bagi memahami dasar-dasar FAM.

Katanya ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi dalam arena bola sepak negara.

"Saya sudah bersedia untuk terima teguran dan kritikan. Sudah jadi kebiasaan kalau pasukan Malaysia kalah orang akan kritik dan puji jika menang.

"Apa yang penting keutamaan diberi pada semua sukan secara adil kerana saya bukan hanya menteri bola sepak sahaja, saya menteri untuk semua. Beri masa saya untuk lihat keperluan semasa," katanya yang pernah menjadi Timbalan Presiden FAM.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib