Wednesday, 15 May 2013

Kelantan gagal ke suku akhir Piala AFC

Kesebelasan utama Kelantan gagal beri saingan.

Kelantan gagal mengatasi rekod musim lalu apabila tewas 0-2 kepada Kitchee FC dari Hong Kong dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Perlawanan pusingan kedua kalah mati itu menyaksikan Kelantan gagal ke suku akhir sekali gus menamatkan perjuangan dalam saingan bola sepak Asia musim ini.

Bermula babak pertama, seawal minit keempat kubu Kelantan sudah diasak menerusi rembatan kapten Kitchee FC Chu Siu Hei namun tersasar.

Seminit berselang, pelawat semakin agresif menerusi hantaran lintang pemain import Jorge Tarres Paramo namun berjaya ditanduk keluar pemain pertahanan Kelantan Obinna Nwaneri.

Red Warriors yang tersentak dengan asakan bertali arus pelawat mula bangkit dan pada minit ke sembilan Nwaneri meluru ke bahagian depan untuk melakukan hantaran lintang namun usaha itu dinafikan kerana Indraputra berada dalam kedudukan ofsaid.

Anak didik Bojan Hodak tidak mudah berputus asa dan pada minit ke-11 menerusi lorongan Norfarhan Mohamad sebelum Petratos melepaskan rembatan kencang dari sudut kiri gawang namun sedikit tersasar.

Namun pada minit ke-15, 15,000 penyokong Kelantan tergamam apabila pemain pertahanan Kelantan Lek Kcira tertampan bola ke gawang sendiri dalam usaha untuk mengeluarkan bola hantaran lintang Pablo Gonzales Caonago.

Kitchee FC terus garang manakala Kelantan mula hilng punca dan pada minit ke-25, pemain sayap pelawat, Cheung Kin Fung dapat melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun ditangkap kemas penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Mereka akhirnya mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Jorge Tarres Paramo yang bijak menampan masuk hantaran lintang Cheung Kij Fung.

Kemasukan penyerang berbisa Kelantan, Dickson Nwakaeme yang menggantikan Mohd Faiz Subri gagal meniup semangat rakan sepasukan untuk bangkit mencari jaringan.

Sedangkan pelawat terus menguasai perlawanan babak kedua, menutup terus ruang Kelantan mencari gol yang akhirnya tersingkir daripada saingan.-harian metro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib