Sunday, 12 May 2013

Juliana Evans doakan Zizan bahagia dengan kekasih baru

Juliana dan Zizan ketika berkawan rapat dulu.
Pengakuan Zizan Razak, baru-baru ini, ketika sambutan ulang tahunnya ke-29 mengenai kamar hatinya yang kini dicuit seorang wanita sedikit sebanyak membuka sisi lain, terutama terhadap wanita yang terlebih dulu dikaitkan dengannya iaitu pelakon cantik, Juliana Evans atau lebih mesra disapa dengan nama Jue.

Kisah cinta yang pernah mengaitkan Zizan dan Jue selama ini disifatkan tergantung dan tak kurang juga ramai melihat kedua-duanya seperti mahu ‘cover line’ kini semakin terhakis. Apatah lagi ramai pula yang menebak gadis dimaksudkan Zizan itu antaranya ialah bakat baru, Emma Maembong dan Kaka Azraf.

Secara tak langsung, nama Jue seolah-olah tiada dalam gambaran plot cerita berkenaan. Malah, pada saat Jue melanjutkan pengajiannya dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi di Western Michigan University di Kalamazoo, Michigan, Amerika Syarikat, pernah tersebar cerita kononnya Jue sudah beralih alah kepada lelaki mat salih bernama Nate Miller.

Hanya kawan rapat wartawan berhubung dengan Jue menerusi medium WhatsApp, baru-baru ini, bertanyakan khabarnya, selain meminta beliau memberi komen mengenai sisi peribadi Zizan. Di sebalik kesibukannya menjalani rutin sebagai pelajar, Jue juga sempat membalas emel kepada setiap soalan yang diajukan.

Juliana doakan yang terbaik untuk Zizan.
“Sebenarnya Jue gembira untuk Zizan jika dia sudah bertemu seseorang yang sudah menambat hatinya.

Jue gembira jika dia gembira kerana dia kawan Jue yang sangat rapat. Dia umpama abang Jue. Jadi Jue sokong tak kira apa jua selagi apa yang dilakukannya itu mampu menggembirakannya,” katanya.

Jue menambah, bererti selama ini, dia bukan mahu menyembunyikan kebenaran atau jauh sekali bersikap hipokrit mengenai gosip cintanya dengan Zizan. Ironinya, memang tiada hubungan istimewa antara mereka.

“Itulah, Jue sudah banyak kali tegaskan kami hanya kawan tetapi ramai yang tak percaya. Malah, saat ini pun saat masih terkejut kerana ada peminat yang ingat kami bercinta biarpun terpisah dek jarak. Hakikatnya, kami sudah lama pandang ke depan memikirkan apa yang lebih utama dalam hidup kami.

“Macam Jue sekarang sibuk dengan pengajian dan Zizan tahulah dia memang antara bintang yang sangat menjadi perhatian dan laku sekarang. Memang Jue tahu, peminat memang suka tengok kami bersama. Ikutkan memang Jue tak nak hampakan mereka tetapi apa boleh buat, tiada cinta antara kami,” kata Jue sambil berseloroh Zizan antara teman kategori istimewa dalam hidupnya.

Pengorbanan berbaloi Mengenai akademiknya, menurut gadis berdarah campuran itu, pengajiannya di sana berjalan lancar. Jika tiada aral, Jue akan menamatkan pengajian pada April 2014.

“Alhamdulillah, pengorbanan Jue untuk tinggalkan seketika dunia seni dan memberi perhatian kepada bidang akademik amat berbaloi. Untuk belajar Jue kena beri perhatian 100 peratus dan memahami betul-betul sistem pengajian di Amerika.

“Dulu, semasa di Malaysia, kesibukan Jue dengan dunia seni tak dinafikan membataskan perhatian terhadap pengajian. Jadi, peluang ini Jue kena manfaatkan sebaik mungkin demi mendapat keputusan cemerlang,” kata pelakon filem Mael Lambong ini.

Jelas Jue lagi, tahun lalu, dia berkesempatan berjinak-jinak dengan dunia modeling di sana. Malah ada undangan yang memerlukannya beraksi depan kamera di sekitar San Francisco dengan jurugambar tempatan. Tahun ini pula, Jue memberitahu dia mula membabitkan diri dengan berteater di universiti.

“Baru-baru ini Jue ada persembahan pentas teater secara langsung di kampus.

Jue pegang watak sebagai wartawan. Ikutkan Jue ada menerima panggilan semula daripada agensi di sini untuk berlakon dan memperaga. Tapi Jue tak nak terburu-buru kerana bimbang hilang fokus terhadap pengajian.

“Walaupun tinggal jauh, Jue masih mendapat tawaran berlakon dengan produksi Malaysia. Dua bulan lalu, Jue ada terbabit dengan penggambaran super telemovie dengan syarikat Mermaid Studios milik Liyana Jasmay di New York City. Telefilem itu diarahkan Ghaz Abu Bakar. Jue diterbangkan dari Michigan oleh pihak produksi Liyana untuk ke New York.

“Selain itu, Jue juga aktif berpersatuan dengan badan pelajar Malaysia di sini. Jue juga sudah mengarahkan beberapa video untuk malam membabitkan persembahan pelajar Malaysia dan Midwest Games 2013. Jue juga ada mengacarakan majlis untuk projek kampus,” kata Jue yang berbangga menjadi rakyat Malaysia dan tak lokek bercerita mengenai keindahan negara kita kepada pelajar lain di sana.

Diusik mengenai dirinya sama ada sudah bertemu kekasih di sana. Pintas Jue sambil berseloroh: “Belum... masih menunggu rockstar idaman hadir dalam hidup”.-berita harian

1 comments:

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib