Saturday, 18 May 2013

David Beckham bersara dari dunia bola sepak

PSG kelab terakhir Beckham.
BINTANG bola sepak, David Beckham mengumumkan persaraannya daripada lapangan bola sepak profesional pada akhir musim selepas memenangi gelaran liga dalam empat negara berbeza dan beraksi dalam tiga Piala Dunia.

Beckham, pemain yang berjaya mengukir nama sebagai salah satu dari ikon bola sepak berkata, beliau akan beraksi dua lagi perlawanan sebelum bersara.

"Saya bernasib baik yang Paris Saint-Germain (PSG) telah memberi saya peluang untuk meneruskan kerjaya saya.

"Tetapi saya rasa yang ini adalah masa yang tepat untuk saya mengakhiri kerjaya saya, dengan bermain di tahap yang tertinggi," katanya.

Beckham menambah: "Detik yang paling membanggakan bagi saya adalah apabila saya mengetuai pasukan kebangsaan.

"Saya sedar yang setiap kali saya menyarung jersi 'Three Lions', saya mewakili bukan sahaja golongan pemain yang paling menyerlah untuk negara, saya juga mewakili setiap para peminat yang memberi sokongan padu kepada pasukan negara.

"Ia adalah penghargaan yang paling besar bagi saya untuk mewakili England di dalam dan luar padang," katanya turut berterima kasih kepada peminat yang banyak menyokong beliau selama ini.


Bangga capai kejayaan dalam setiap kelab diwakili.
"Saya tidak akan mencapai kejayaan tanpa sokongan keluarga saya. Saya berterima kasih kepada isteri saya, Victoria dan anak-anak yang telah memberi saya inspirasi dan sokongan untuk bermain di tahap yang tinggi untuk jangka masa yang panjang.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan saya serta pengurus-pengurus yang telah mengajar saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang telah memberi saya sokongan padu," jelasnya.

Untuk rekod, Beckham telah membuat penampilan pertama untuk Manchester United (MU) pada tahun 1992, dan telah merangkul enam kejuaraan liga dan trofi Liga Juara Juara sebelum berpindah ke Real Madrid dan Los Angeles Galaxy, termasuk beberapa musim beliau dipinjamkan ke AC Milan.

Beliau juga membuat penampilan pertama untuk England pada tahun 1996 dan menjadi pemain 'outfield' yang paling berpengalaman untuk negara dengan 115 penampilan.

Beckham juga merupakan pemain England pertama yang telah menjaringkan gol dalam tiga kejohanan Piala Dunia berturut-turut.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib