Sunday, 5 May 2013

Datuk Mustafa Ali buat laporan polis

Mustafa Ali dan kepemimpinan Pas buat laporan polis.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menafikan beliau mengeluarkan surat mengenai keputusan Mesyuarat Ahli Majlis Syura Pas, yang mengarahkan semua ahli parti itu tidak mengundi calon selain Pas pada hari pengundian, hari ini.
Menyifatkan surat itu sebagai palsu, beliau turut menolak kandungan lain dalam surat tersebut bahawa Majlis Syura menggesa parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).
“Mesyuarat Ahli Majlis Syura Pas juga tidak berlangsung pada 2 Mei sebagaimana dalam surat (palsu) itu,” katanya ketika sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, semalam.

Mustafa bagaimanapun mengakui, tandatangan dalam surat terbabit menyamai miliknya, tetapi percaya ia ditiru dengan kaedah saring atau ‘scan’ bagi mengelirukan orang ramai.

Sehubungan itu, Mustafa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari semalam, ditemani beberapa pimpinan Pas antaranya Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Pengerusi Lajnah Guaman Pas Terengganu, Abdul Haris Malik, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas Terengganu, Jeffry Chua dan juga Peguam Pas, Fariz Irwan Mustafa.

Surat terbabit sebelum ini disebar meluas termasuk melalui Facebook sejak dua hari lalu, dan ia dikatakan sebagai arahan sulit daripada Pas Pusat.

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Harun Din dalam satu kenyataan medianya turut menafikan sekeras-kerasnya kewujudan surat itu dan menyifatkannya sebagai langkah orang terdesak.

“Tidak ada dalam agenda kerjanya untuk Majlis Syura mengkaji tahalluf siyasi yang sudah begitu kemas yang dibuat oleh Pas dengan PR.

“Saya meminta semua ahli dan rakyat tidak percaya kepada fitnah itu dan marilah kita takut kepada ALLAH atas azabnya kerana menyebarkan fitnah yang begitu jelas,” katanya.-
sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib