Monday, 13 May 2013

Cikgu dicekup bersama penjawat awam

Pasangan dicekup. - Gambar hiasan
Seorang penjawat awam bersama pasangannya seorang tenaga pengajar dicekup berdua-duaan di sebuah rumah di pekan ini, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, penjawat awam berusia 30 tahun yang bertugas di negeri sebelah utara dipercayai datang ke daerah ini untuk bertemu kekasih hatinya berusia 29 tahun yang mengajar di sebuah sekolah, dekat sini.

Difahamkan, pasangan terbabit dipercayai mengambil kesempatan memadu kasih di dalam rumah itu ketika rakan serumahnya keluar berhujung minggu.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, kira-kira 3.20 pagi, seramai 20 anggota Jaim, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan polis menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, sebaik tiba di perkarangan, rumah didapati bergelap dan mereka terpaksa menunggu hampir 15 minit selain berkali-kali memberi salam tetapi tidak bersahut.

"Penguat kuasa Jaim kemudian bertindak memanjat pagar rumah berkenaan dan mengetuk pintu utama rumah itu.

"Pasangan wanita terbabit kemudiannya keluar berbaju tidur dan membuka pintu," katanya.

Rahimin berkata, pemeriksaan menyeluruh di bahagian bawah rumah dua tingkat itu tidak menemui sesiapa sebelum anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan di tingkat atas.

"Di tingkat atas, anggota menemui seorang lelaki berpakaian lengkap sedang menyorok di bahagian siling rumah.

"Lelaki itu pada mulanya enggan memberi kerjasama ketika diminta keluar dari persembunyiannya untuk diperiksa dan mereka terpaksa menunggu 15 minit sehingga lelaki itu turun," katanya.

Katanya, pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Alor Gajah untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke pejabat Jaim untuk tindakan lanjut.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib