Monday, 13 May 2013

Ahmad Said - Kerajaan tetap bantu rakyat walaupun di kawasan kalah

Ahmad punch card untuk memulakan tugas sebagai MB.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Ariffin Deraman yang mahu wakil rakyat Pas di negeri ini diberi peruntukan sama seperti wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Ini kerana katanya, Pas yang pernah memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 juga tidak menyalurkan peruntukan itu kepada wakil rakyat BN.

"Di Kelantan, Pas menjadi kerajaan, ada mereka bagi peruntukan kepada wakil rakyat BN...begitu juga di Kedah dan Selangor pada penggal yang lepas, ada bagi kepada wakil rakyat BN," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ariffin dalam sidang akhbarnya semalam berkata, peruntukan kepada Adun sepatutnya diberi kepada wakil rakyat daripada Pas, sama seperti yang disalur kepada Pegawai Pembangunan Dun (PPD) sebelum ini.

Mengenai dakwaan bahawa Ahmad menteri besar pendendam dan emosi kerana tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di Dun dan Parlimen yang BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahmad berkata, kini sudah tiba masanya wakil rakyat Pas menjalankan tanggungjawab itu.

"Bukanlah bermakna kami akan mengabaikan rakyat cuma kami akan gunakan kaedah pendekatan lain untuk membantu rakyat seperti melalui pemimpin setempat, pegawai daerah dan agensi kerajaan yang lain.

"Agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan akan diteruskan kerana kita mahu semua rakyat menerima limpahan hasil kemajuan Terengganu yang semakin pesat untuk tempoh beberapa tahun akan datang dengan kualiti perkhidmatan awam yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Ahmad menafikan spekulasi kononnya beliau akan menjawat jawatan menteri besar untuk tempoh tertentu sahaja sambil memberitahu bahawaspekulasi seumpama itu telah tersebar sejak beliau dilantik menteri besar pada tahun 2008.

Ahmad memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua di pejabatnya di Wisma Darul Iman pagi ini setelah BN memenangi 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri pada pilihan raya umum lepas.

Beliau turut memegang tiga lagi portfolio iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan dan Pelaburan; Tanah, Petroleum dan Sumber Asli serta Kerajaan Tempatan dan Perumahan. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib