Tuesday, 9 April 2013

Zulfahmi Khairuddin Puas Pamer Aksi Terbaik

Zulfahmi puas hati prestasi jentera.

Pakej jentera pasukan juara dunia kelas Moto3, Red Bull KTM Ajo nyata tidak mengecewakan pelumba negara Zulfahmi Khairuddin apabila berjaya menamatkan perlumbaan pembuka tirai Grand Prix Losail, Qatar di tempat keenam sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu.
Meskipun dibelenggu ujian pra musim kurang memberangsangkan dan hanya bermula di petak ke-11 pada perlumbaan pertama musim ini, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu berjaya mempamerkan tunggangan mantap dengan memintas satu persatu pelumba di depannya sebelum meraih kedudukan keenam.
Usaha Zulfahmi mengekalkan kedudukan itu bagaimanapun dicabar hebat Miguel Oliveira dari pasukan Mahindra Racing, tetapi pelumba berusia 21 tahun itu akhirnya sedikit mengatasi Oliveira ketika melintasi garisan penamat.
“Saya amat puas hati dengan perlumbaan ini. Rakan sepasukan berusaha bersungguh-sungguh sepanjang minggu ini.
Usaha dan kerja keras berbaloi.
“Ketika sesi latihan bebas, kami perlu bekerja keras dan perkara sama saya lakukan pada permulaan perlumbaan ini.
“Saya dipintas beberapa pelumba tetapi dapat mengejar kembali hingga kedudukan keenam,” katanya.
Zulfahmi bagaimanapun sedikit kecewa kerana gagal mengejar kelompok depan yang disertai pemenang perlumbaan itu yang juga rakan sepasukan Luis Salom.
“Apapun, saya tetap gembira dengan keputusan pada perlumbaan pertama ini dan berharap dapat mempamer tunggangan lebih baik pada perlumbaan seterusnya di Austin (Amerika Syarikat),” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan Aki Ajo turut lega dengan keputusan diraih Zulfahmi serta seorang lagi rakan sepasukannya Arthur Sissis selepas mengharungi tempoh sukar sebelum perlumbaan sebenar.
“Zulfahmi dan Sissis kembali kepada prestasi terbaik dan ia amat penting untuk kami,” katanya.
Zulfahmi turut meraih penamat keenam pada perlumbaan pembuka tirai musim lalu di Qatar, permulaan cemerlang yang menyaksikannya menamatkan saingan musim lalu di kedudukan ketujuh terbaik.-harian metro,gambar fb zulfahmi.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib