Thursday, 18 April 2013

Ular sawa gergasi berjaya ditangkap di Kedah

Orang kampung menolong angkat ular sawa gergasi.
Dua sahabat berhadapan situasi cemas bergelut selama dua jam dengan seekor ular sawa batik sepanjang tujuh meter dianggarkan seberat hampir 150 kilogram ketika melakukan rondaan di kawasan kebun getah di Kampung Becah Sawa kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Penduduk, Mohd Hafiz Mohd Noor, 31, berkata, dia bersama seorang rakannya, Nasir Yaakup, 41, terpaksa bergelut mengatasi tenaga kuat ular itu yang dipercayai baru menetaskan kira-kira 80 telur dalam sebuah lubang di kebun itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama rakannya itu sedang melakukan rondaan bagi mengelakkan kecurian getah sebelum ternampak sesuatu seperti badan ular sawa di dalam sebuah lubang di kawasan kebun itu.

“Saya cuba dekatkan diri dan melihat memang terdapat ular sawa dalam lubang itu. Saya dan rakan cuba menarik ular itu, tapi tidak berjaya. Tenaganya begitu kuat. Hampir dua jam bergelut barulah saya dapat pegang kepala ular itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia dan rakannya terpaksa mengheret ular itu sepanjang beberapa meter sebelum dipindahkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Ketika itu, saya memang tidak ingat apa dah. Saya cuma nak keluarkan ular itu. Saya takut, ada orang kampung yang akan jadi mangsa.

"Saiz ular ini cukup untuk telan kami berdua,” katanya.

Kejayaan menangkap 'ular gergasi' itu turut mendapat perhatian penduduk.

Puluhan penduduk tidak putus-putus mengambil gambar termasuk melihat ular itu dari jarak dekat.

Mohd Hafiz berkata, dia belum membuat keputusan sama ada untuk melepaskan ular itu mahupun menyerahkan kepada pihak berkuasa.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib