Tuesday, 2 April 2013

Tunku Ismail Bakal Terima Hukuman Lebih Berat FAM


Tunku Ismail ketika perlawanan sabtu lepas
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal berdepan hukuman lebih berat susulan kontroversi terbaru yang dicetuskan apabila melanggar hukuman gantung enam bulan yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan duduk di bangku simpanan Johor Darul Takzim (DT), Sabtu lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak mengesahkan jika berdasarkan peraturan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Tunku Ismail, beliau tidak dibenarkan duduk di bangku simpanan pasukan. 

“Tidak timbul isu FAM belum menghantar surat (pengesahan hukuman gantung enam bulan kepada Tunku Ismail), sebaliknya kami sudah menghantarnya kepada PBNJ. Jadi, tindakan yang dilakukan beliau itu tidak boleh. 

“Ia melanggar hukuman yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM. Jadi, hukuman tambahan boleh dikenakan ke atas beliau (Tunku Ismail). Namun, kami menunggu laporan daripada pegawai perlawanan dan pengadil bertugas pada perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Datuk Taufek Abdul Razak sahkan Tunku Ismail bersalah
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor sebelum ini digantung enam bulan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 8 Mac lalu mendapati beliau bersalah melanggar Artikel 88 kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M). 

Dan jika mengikut peraturan yang ditetapkan FAM, individu yang sedang menjalani sebarang hukuman penggantungan dilarang sama sekali daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak anjuran badan induk itu sepanjang tempoh penggantungan. 

Semalam dilaporkan tindakan terbaru Tunku Ismail yang mencetuskan kontroversi apabila dilihat duduk di bangku simpanan Johor DT dalam perlawanan menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu lalu. 

Insiden itu jelas dilihat seluruh peminat bola sepak tempatan yang menyaksikan perlawanan itu secara langsung sekali gus tindakan beliau itu seolah-olah dilihat cuba ‘mencabar’ keputusan yang ditetapkan FAM. 

“Bentuk hukuman saya tidak boleh jelaskan sekarang. Kita tengok dulu bagaimana keputusan daripada mesyuarat jawatankuasa nanti. Jika didapati melanggar peraturan, baru surat pertuduhan dapat dikeluarkan,” tambah Taufek. 

Bagaimanapun Tunku Ismail belum mengulas kontroversi itu.-berita harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib