Tuesday, 2 April 2013

Tania Hudson Mahu Aktif Dalam Lakonan

Tania Hudson kembali bersemangat

NAMA Tania Nadira Hudson semakin terpinggir dan kurang mendapat liputan sejak lebih setahun lalu. Hal itu berlanjutan sehinggalah kemunculannya di set penggambaran drama Surat Dari Langit Biru di Desa Park City, pinggir bandar raya Kuala Lumpur pada petang hari Selasa lalu.
Polos tanpa olesan bahan soleken, wajah yang mirip seperti kakaknya, Natasha Hudson itu bagaimanapun nampak sugul dan kurang bermaya.
Ditanya mengenai kesihatannya, jawab Tania, 28, dia kini berada dalam keadaan yang sihat tanpa kesan sampingan selepas menjalani pembedahan sekitar empat tahun lalu.
"Alhamdulillah, saya kini lebih sihat. Cuma, saya perlu kawal corak hidup dan tekanan sekeliling dengan lebih cermat. Rawatan susulan cuma tiga tahun selepas pembedahan dan sekarang semua kembali normal, tetapi kepala ada berdenyut sekali-sekala.
"Saya bersemangat untuk kembali bekerja seperti sebelum ini. Fokus saya adalah karier lakonan yang nampak sudah semakin menyusut sejak akhir-akhir ini," katanya.
Tania sebelum ini pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) pada tahun 2009.
AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tumbuh pada bahagian otak dan penyakit yang dialami pelakon itu menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman.
Sebelum ini tidak berapa sihat
Tania menegaskan, ketiadaannya dalam industri selepas kemunculannya menerusi drama bersiri Tiramisu dua tahun lalu bukan kerana merajuk. Sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk memerhatikan suasana dunia seni dan pada masa sama, masih aktif di pentas peragaan fesyen.
"Jauh sekali untuk saya merajuk kerana berlakon juga sumber pencarian saya selain peragaan. Cuma saya sengaja memberikan rehat untuk diri sendiri sebelum kembali semula dengan lebih aktif dan fokus.
"Saya masih aktif membuat peragaan dan berlakon iklan. Selain itu, ada juga membantu bisnes kek ibu saya (Ratna Hussin)," ujarnya.
Diajukan soalan nakal sama ada dirinya sudah mempunyai calon suami dan kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, balas pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu, dia masih solo.

"Belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin. Usahkan berkahwin, calon pun belum ada," kongsinya bersulam ketawa.
Tambah Tania, harapannya ingin berjaya terlebih dulu dalam kerjaya sebelum memutuskan untuk berumah tangga.
Tania masih solo
"Kalau boleh saya ingin menamatkan zaman solo sebelum mencecah usia 30 tahun tetapi susah nak cakap, sebab jodoh bukan kita tetapkan," ujar Tania.
Meletakkan beberapa kriteria lelaki yang diidamkan, kata Tania dia mahukan seseorang lelaki yang berupaya membimbingnya, matang dan lebih berusia daripada dirinya.
"Lagi tua seseorang itu lagi matang pemikirannya. Paling tidak pun dia boleh membimbing saya. Selain itu, saya mahukan seorang lelaki yang kelakar, berjaya dalam kerjaya, menghormati saya dan berpegang pada janji. Ikhlas itu penting dalam sesebuah perhubungan," jelasnya.
Berkongsi karakternya dalam drama Surat Dari Langit Biru, kata Tania, dia terkejut ketika ditawarkan untuk melakonkan watak Lisa. Ia merupakan salah seorang pemegang watak antagonis dalam drama itu.

"Pertama kali saya diberikan watak antagonis yang bermulut jahat dan licik, malah Lisa juga bertanggungjawab memporak-perandakan keluarganya sendiri. Biarpun kemunculan saya hanya sekejap tetapi sebenarnya meninggalkan impak mendalam," katanya yang pertama kali berlakon dibawah arahan pengarah terkenal, Rashid Sibir.
Drama bersiri 15 episod terbitan Rashbir Media dan mendapat sentuhan skrip Basri Musa itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan As'ari, Yana Samsudin, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Iqram Dinzly, Nabila Dally dan Ika Nabila.
Karier seni adalah keutamaan sekarang
Surat Dari Langit Biru mengisahkan ikatan persaudaraan antara Zarul (Johan) dan Salmi (Yana) yang sangat rapat dan serba sederhana. Menginjak dewasa, Salmi berjaya bergelar seorang doktor. Namun, Zarul terpaksa berkorban masa depannya demi melihat kakaknya itu berjaya.
Pada masa sama, bapa mereka, Pak Hassan (Datuk Rahim) mengahwinkan Salmi dengan anak penghulu kampung Heykal (Fizo) kerana telah banyak terhutang budi sedangkan Heykal sendiri menyimpan dendam terhadap keluarga itu.
Rumah tangga Salmi tidak bahagia ditambah pula Zarul yang diperangkap oleh Heykal dan adiknya Lisa (Tania) sehingga dihalau keluarga. Lantas Zarul pergi menghilangkan diri.
Segalanya bakal terjawab dalam Surat Dari Langit Biru yang akan disiarkan mulai 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3.-kosmo
Berikut antara gambar-gambar beliau.








0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib