Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu" Surah al-Ahzab (ayat 21)

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah serta keperibadiannya sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan dalam al-Quran.

Masjid Nabawi Madinah al munawarah
Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda bawa bermusyawarah. Laba dari inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti bukan kepentingan diri.

Ia juga kerana Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun. Bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)
Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ialah melalui pendidikan berasaskan contoh teladan yang baik. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu, membimbing dan menjadi ‘role model’.

Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran, tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal serta berakhlak yang sebenar.

Rasulullah SAW menunjukkan kepada sahabat supaya bersifat benar dalam perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain atau melakukan perbuatan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kebanyakan kepincangan dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan oleh sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

Selain itu, sabar dalam semua keadaan perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah SAW sehingga dikagumi sahabat dan musuh yang bersama Baginda semasa hayatnya.

Kesabaran Rasulullah SAW menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda hingga dapat dinikmati seluruh Muslim hari ini. Baginda juga bersedia berdepan fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk.

Satu sifat yang mulia yang ditonjolkan Rasulullah ialah pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat atau musuh serta mudah bertolak ansur selain tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW tidak pernah melemahkan diri Baginda dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal.

Ketenangan Baginda juga menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti disukai ramai.

Rasulullah SAW mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung mencintai kebaikan.

Kegagalan membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini seperti firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al-Rumi, ayat 41).-berita harian