Saturday, 13 April 2013

Penyu terkulai di laman sendiri

Aksi Terengganu dan Johor DT.

Misi Terengganu untuk membalas dendam ekoran kekalahan 2-3 kepada Johor Darul Takzim di tempat lawan tempoh hari gagal apabila tumpas 0-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam.

Beraksi di hadapan lebih 12,000 penyokong, tuan rumah bermula garang apabila pemain sayap kiri, Mohd. Khairul Ramadhan membuat percubaan dari luar kotak penalti, namun tersasar ke sebelah kiri gawang pelawat seawal minit pertama.

Pelawat kemudian bangkit melancarkan asakan ke kubu Terengganu dengan diketuai oleh bekas penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha.

Norshahrul hampir membuka jaringan pada minit ke-12 tetapi rembatannya berjaya ditepis penjaga gol, Md. Sharmiza Yusof.

Penyerang kebangsaan itu bagaimanapun berjaya menebus kehampaan pada minit ke-24 selepas menghukum kesilapan Md. Sharmiza yang tersilap percaturan dengan menerpa keluar terlalu awal.

Gol tersebut menyentap semangat anak-anak buah E.Elavarasan yang cuba menggandakan asakan ke kubu lawan, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan yang diterajui pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona.

Bermula babak kedua, Johor Darul Takzim mula mengendurkan asakan ke kubu tuan rumah.
Peluang tersebut digunakan sebaiknya oleh Terengganu untuk melancarkan serangan bertali-arus ke kubu pelawat dalam usaha untuk memburu gol penyamaan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila beberapa percubaan berjaya dinafikan oleh kekentalan benteng pertahanan pelawat yang diterajui pemain kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak.

Bertambah parah, jaringan penyamaan oleh pemain pertahanan Terengganu, Hasmizan Kamaruddin pada minit ke-88 dibatalkan pengadil, Lismotia Mohem Mohd. Tisan kerana pemain itu sudah berada dalam posisi ofsaid.

Pelawat juga hampir menggandakan jaringan pada masa kecederaan namun rembatan penyerang gantian, Mohd. Safee Sali sekadar menggegar tiang gol tuan rumah.-utusan


0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib