Saturday, 27 April 2013

Najib kutuk pejenayah tembak TKP Kastam, arah cari sampai dapat

Kereta yang dinaki mangsa.
Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan polis supaya menyegerakan siasatan dan usaha memberkas penjenayah yang menembak mati Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim hari ini.
 
Sambil mengutuk sekeras-kerasnya insiden kejam itu, perdana menteri berkata ia merupakan satu kejutan kerana berlaku di Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara serta melibatkan penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

"...ia berlaku kepada anggota kita (penjawat awam) yang sedang ambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kepada pihak yang tidak senang dengan tindakan tegas (mereka).

"Saya kutuk perbuatan tersebut sekeras-kerasnya dan berharap polis siasat segera dan cari serta berkas mereka yang bertanggungjawab kerana penjawat awam kita mesti dijaga keselamatan mereka," tegasnya.

Lokasi kejadian berhampiran lampu isyarat.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama anggota keselamatan di Markas Briged Utara Hulu Kinta di sini.

Dalam insiden kira-kira 8.15 pagi itu, Shaharuddin ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.

Mengulas lanjut, Najib berkata keselamatan penjawat awam di negara ini perlu diberi perhatian terutama ketika mereka menjalankan tugas.

"Apa yang saya nak nyatakan di sini, penjawat awam dalam negara mesti diberi perlindungan lebih-lebih lagi ketika mereka melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan negara," tegas beliau. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib