Monday, 8 April 2013

Manifesto BN Didakwa Tiru Manifesto PR

Saifuddin Nasution Ismail
Di sebalik keyakinan Barisan Nasional (BN) bahawa aku janji yang dibentang malam kelmarin memenuhi aspirasi rakyat, pembangkang menyifatkan ia sebagai satu janji yang hambar, tidak ada keaslian dan kontang idea.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, manifesto BN jelas menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Apabila duit ini disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, ini bermakna BN akan terus selama-lamanya mengekalkan rakyat Malaysia sebagai rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, hasrat kerajaan menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM1,200 kepada rakyat berpendapatan kurang RM3,000 adalah satu usaha ke arah memastikan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

“Ini berbeza dengan pendekatan Pakatan Rakyat (PR) iaitu menyelesaikan masalah struktur ekonomi dan pendekatan untuk melegakan tekanan hidup rakyat ,” katanya.

Manifesto BN bertemakan “Menepati Janji Membawa Harapan” antaranya menggariskan penambahan pemberian BRIM bagi setiap isu rumah, baucar buku dan bantuan persekolahan.


Datuk Seri Najib ketika pelancaran manifesto BN.
BN juga berhasrat menurunkan harga kereta dan mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat-peringkat.
Katanya, tawaran itu adalah idea ciplak yang diambil dari manifesto popular pakatan pembangkang itu.

“Mereka nampaknya tak ada pilihan. Mereka mengulangi tawaran yang mereka kata boleh membankrapkan negara, tetapi Barisan Nasional kini terpaksa menjilat kembali ludah mereka,” katanya.

PR menerusi manifesto yang dibentangkannya Februari lalu antara lain akan memastikan harga kereta di negara ini dapat dibeli dengan harga serendah RM25,000.

Manifesto pakatan pembangkang itu juga berjanji memastikan tol dihapuskan dengan mengambi alih lebuhraya secara berperingkat-peringkat.

Ia juga berhasrat untuk memastikan setiap keluarga di Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya pendapatan RM4,000 sebulan selepas penggal pertama pentadbirannya.

Sementara itu, Naib Presiden DAP,  M Kulasegaran berkata, manifesto yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata 'membeli' undi rakyat kepada BN.

“Ini manifesto untuk menang dalam pilihan raya sahaja. Bukan untuk menyenangkan masyarakat Malaysia atau satu haluan yang baik,” katanya.

Malah katanya, manifesto itu juga tidak menekankan secara khusus bagaimana kerajaan mahu melaksanakan pentadbiran negara dengan membina ekonomi yang lebih kukuh di masa akan datang.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berpendapat, manifesto BN adalah janji untuk meraih keuntungan politik semata-mata.

“Tawaran BN yang pada mulanya menggunakan pendekatan one-off kini dijadikan pemberian tahunan dilihat sebagai terdesak untuk menang PRU13,” katanya.

Bahkan ujarnya, jika dilihat daripada jumlah peruntukan yang akan digunakan BN untuk mengurus negara lima tahun akan datang, ia jauh lebih besar daripada apa yang diperuntukkan oleh PR.
-sinar harian

1 comments:

  1. Nabi saw bersabda

    "celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa.celaka la dia dan celaka la dia (H.R Ahmad dan AD darimi)

    ReplyDelete

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib