Friday, 5 April 2013

Lengkap Semua Pembubaran DUN Seluruh Negara

SPR akan bermesyuarat untuk tentukan tarikh PRU13

Pembubaran semua Dewan Undangan Negeri (DUN) lengkap hari ini dengan yang terakhir DUN Kedah pada jam 10.15 pagi tadi, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). 

Pembubaran DUN sejajar dengan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin bagi memberi laluan kepada PRU-13.

DUN pertama dibubarkan sebaik pembubaran Parlimen ialah DUN Perlis apabila ia dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada jam 12.30 tengah hari, diikuti DUN Melaka apabila Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob menandatangani notis pengisytiharan pembubaran DUN, kira-kira jam 1 tengah hari. 

Menyusul petang itu ialah DUN Perak selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN, jam 2.30 petang dan DUN Sabah apabila Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menandatangani notis pengisytiharan pembubaran DUN, jam 3.45 petang. 

Dua lagi negeri yang turut membubarkan DUN serentak dengan hari pembubaran Parlimen ialah Terengganu pada 7.45 malam dan Pahang pada 11.45 malam. 

Semua negeri telah bubarkan dun masing-masing
Pembubaran DUN Johor juga berkuat kuasa pada hari pembubaran Parlimen, namun pengumumannya hanya dibuat semalam. 

Sementara itu, empat negeri yang dikuasai pembangkang hanya membubarkan DUN masing-masing semalam dan hari ini. Ia didahului oleh DUN Selangor selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani pengisytiharan pembubaran di Istana Alam Shah, petang semalam. 
Pembubaran DUN Kelantan diumumkan oleh apabila Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat selepas menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Telipot, kira-kira jam 10.50 malam tadi. 

DUN Pulau Pinang pula dibubarkan hari ini selepas Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas menandatangani notis pembubaran, jam 9.35 pagi tadi, manakala pembubaran DUN Kedah diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, jam 10.15 pagi tadi. 

Dalam pada itu, DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.-berita harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib