Saturday, 27 April 2013

Kereta anak pemimpin PKR dibakar

Keadaan hadapan kereta kelihatan cermin pecah.
Kereta milik anak perempuan calon PKR Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar musnah dibakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di rumahnya, di Taman Klang Jaya, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Sangetha Jeyakumar, 30, berkata, kejadian disedari jirannya apabila melihat dua lelaki memanjat tembok masuk ke pekarangan rumahnya sebelum memecahkan cermin kereta dan melempar tong petrol serta membakarnya.

Katanya, beliau tiada di rumah dan ada di Bilik Gerakan Dun Seri Andalas ketika kejadian kira-kira jam 11 malam, manakala suami dan anak lelakinya sedang tidur.

“Jiran menjerit minta bantuan dan suami terjaga lalu menelefon saya. Sampai ke rumah api sudah dipadamkan bomba dan polis. Ford Fiesta saya dibakar tahap ‘total loss’.

Bahagian kerusi pemandu teruk terbakar.
“Jiran saya turut diugut simbah petrol ketika cuba bantu tapi tidak berjaya selepas rumah saya dikerumuni jiran lain,” katanya.

Sangetha yang juga Setiausaha AMK Cabang Kota Raja berkata, beliau kerugian hampir RM85,000 namun dokumen penting untuk pilihan raya yang diletakkan dalam bonet kereta terselamat.

“Keluarga saya trauma tetapi ia tidak akan membakar semangat kami untuk memperjuangkan dasar Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau mendakwa insiden itu hampir mencetuskan pergaduhan apabila terdapat kira-kira 100 pemuda memakai baju berlogo Barisan Nasional (BN) membuat provokasi di hadapan rumahnya selepas api dipadamkan.

Kerosakan pada cermin sisi kereta.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, polis menahan empat lelaki disyaki ada kaitan dengan kes.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan kedudukan semua suspek, sebelum menahan mereka pada jam 5 pagi semalam.

"Kita turut rampas dua tong minyak, sebilah parang serta satu pemetik api dalam kereta Kia Sephia berwarna perak milik suspek," katanya.

Mohamad berkata, semua suspek sebenarnya tidak berpuas hati dengan individu lain yang mengganggu adik perempuan seorang daripada mereka.

"Namun mereka tersilap rumah dan melakukan serangan ke atas orang lain (mangsa)," katanya.

Mohamad berkata, polis percaya motif serangan tiada kaitan dengan isu politik.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib