Tuesday, 2 April 2013

Hati-Hati Dengan Penjenayah Teksi Menyamun Penumpang

Segelintir pemandu teksi terlibat salah laku jenayah
MENYEWA dan berpura-pura sebagai pemandu teksi adalah taktik terbaru digunakan sindiket culik dan samun sekali gus menjadikan penumpang wanita bersendirian sebagai sasaran mereka.

Modus operandi mereka dengan memberi pelbagai alasan kepada mangsa antaranya kereta rosak, kehabisan minyak dan mengambil penumpang yang lain terlebih dulu sebelum ke destinasi tertentu.

Pemandu juga membiarkan kereta berjalan tanpa meter. Pada masa sama, suspek akan mengambil rakannya sebelum mengugut mangsa supaya menyerahkan wang serta barangan berharga atau memaksa mangsa menghubungi ahli keluarga supaya memasukkan sejumlah wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, terdapat juga mangsa dikurung sebelum ahli keluarga memasukkan sejumlah wang.

“Modus operandi yang digunakan sangat licik hingga sanggup menyewa dan menjadi pemandu teksi. Sebaik mendapat wang daripada mangsa kalangan wanita, mereka akan meninggalkan mangsa di tepi jalan,” katanya.

Antara kes jenayah yang dilakukan pemandu teksi
Beliau berkata, jikalau mereka (pemandu teksi) memerlukan imbuhan yang lebih besar, mereka akan membawa mangsa ke suatu tempat sebelum mangsa diikat dan ditempatkan di sebuah rumah kosong. Seterusnya mereka akan meminta mangsa menghubungi keluarga dan memasukkan wang ke dalam akaun mereka.

“Kita menganggap perlakuan ini sebagai kes culik dan disiasat di bawah Akta 3(1) Culik,” katanya.

Chin Wah berkata, statistik daripada Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur (IPKKL) merekodkan kes samun dan rogol yang berkaitan dengan pemandu teksi sebanyak 45 kes pada 2012 yang membabitkan lima daerah Kuala Lumpur. Manakala, lima kes pada Januari tahun ini.

“Sejak awal 2013 hingga kini, telah berlaku kejadian samun oleh pemandu teksi terhadap penumpang dan sebanyak 13 kes telah dilaporkan dimana tiga kes dilaporkan berlaku di daerah Dang Wangi, lima kes di kawasan Brickfields manakala di Cheras, tiga kes. Manakala Sentul terdapat dua kes yang melibatkan mangsa, lapan wanita dan lima kes penumpang lelaki.

“Turut terlibat mangsa dalam dua kes pelancong asing melibatkan kerugian lebih kurang RM47,116,” katanya.

Chin Wah berkata, hasil siasatan dan risikan pihak polis mendapati, ada tiga kumpulan culik dan samun yang berlainan dan bergerak aktif sejak awal tahun ini.

“Hingga kini kami menerima 13 aduan mangsa serta menahan lima individu menerusi beberapa siri tangkapan hingga semalam di sekitar Cheras," katanya.

Penumpang terutamanya wanita perlu berhati-hati
Beliau menambah, polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai saki baki kumpulan itu yang dikenali sebagai S Prakash Kumar, 39, dan A Joseph, 26.

“Semua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Culik 1961 dan polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan teksi,” katanya

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek dalam kejadian ni adalah kalangan penyewa dan pemandu teksi di syarikat tertentu di Kuala Lumpur.

Chin Wah berkata, polis sangat memandang berat kejadian ini kerana selain menyebabkan mangsa kerugian, ia juga boleh menghakis kepercayaan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam serta memberikan gambaran negatif kepada pelancong asing.

Polis berharap pemilik atau syarikat teksi supaya lebih berhati-hati di samping bertanggungjawab memastikan teksi yang disewakan tidak disalah guna oleh penyewa untuk melakukan jenayah. Di samping, pihak pemilik  perlu menyemak latar belakang individu tersebut sebelum menyewakan teksi mereka.

Chin Wah menasihatkan supaya orang awam tidak perlu cemas tentang kes samun dan rogol ini kerana ia dilakukan oleh segelintir dari pemandu teksi.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib