Wednesday, 17 April 2013

Gadis ditahan dalam operasi samseng jalanan

Polis bertanya sesuatu kepada remaja yang ditahan.
“Akibat masalah keluarga, saya lari dari rumah dan mengambil dadah untuk menenangkan fikiran," akui seorang gadis 16 tahun yang dicekup polis dalam satu operasi khas cegah samseng jalanan di sini, kira-kira jam 2 pagi, awal pagi semalam.

Gadis terbabit antara 38 remaja yang ditahan dalam operasi berkenaan yang diadakan di sekitar bandar, dekat sini oleh polis Dungun membabitkan 14 anggota diketuai Inspektor Suhaimi Mohamad.

Gadis itu yang merupakan anak kelima daripada 10 beradik ketika ditemui menceritakan, dia yang bekerja di sebuah salun kecantikan di bandar ini keluar bersiar-siar membonceng motosikal bersama teman lelakinya berusia 19 tahun.

Namun, tindakan pasangan terbabit membawa padah apabila dia turut ditahan bersama puluhan remaja lain yang berpelesiran tanpa tujuan.

Lebih malang, hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methapethamine.

Selain gadis berkenaan, turut ditahan dua pelajar tingkatan empat serta seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Pelajar itu difahamkan keluar rumah tanpa pengetahuan ibu bapa sebelum mengambil motosikal bapanya tanpa kebenaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, 23 motosikal dan empat kereta ditahan selain saman pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam operasi yang berakhir sekitar jam 5 pagi itu.

“Seorang gadis serta empat remaja lelaki yang didapati positif dadah jenis methapethamine itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib