Tuesday, 2 April 2013

FAM Nafi Konspirasi Singkir Rajagobal

Ada konspirasi mahu singkir Rajagopal
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak andaian wujudnya konspirasi dalaman untuk menyingkirkan ketua jurulatih skuad kebangaan Datuk K Rajagobal seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

FAM hari ini menyifatkan kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berhubung pengendali skuad Harimau Malaya itu sebelum ini telah disalah tafsir beberapa media tempatan.

Kenyataan itu menyebut bahawa Azzuddin diajukan soalan oleh tiga wartawan akhbar berbahasa Inggeris dalam satu wawancara minggu lepas, sama ada wujudnya konspirasi dalaman FAM untuk menggugurkan Rajagobal.

"Jawapan spontan Setiausaha Agung adalah di dalam semua isu, segala kemungkinan tidak boleh diketepikan. Dukacitanya jawapan ini dipetik sebagai kenyataan utama yang disiarkan di dalam akhbar.

"Justeru itu, FAM ingin memperjelaskan bahawa kenyataan Setiausaha Agung itu disalah ertikan. Dengan ini FAM ingin menyatakan bahawa tidak ada sebarang konspirasi dalaman sebagaimana yang dilaporkan," menurut kenyataan FAM itu.

Sebelum ini, Azzuddin dipetik sebagai berkata bahawa wujudnya konspirasi dalaman di FAM untuk menggugurkan Rajagobal.

Rajagobal bakal berdepan tindakan tegas daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas dikatakan melanggar Artikel 88 iaitu membuat kenyataan media tanpa mendapat kebenaran FAM.

Jurulatih berusia 56 tahun itu dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa kekalahan 1-4 skuad kebangsaan kepada Arab Saudi pada 17 Mac lepas di Stadium Shah Alam, disebabkan lambakan penyerang import dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau didakwa menyentuh dasar FAM dengan menyatakan penyerang import lebih mendapat tempat dalam pasukan utama Liga Super yang mengakibatkan skuad kebangsaan ketandusan penyerang semulajadi.- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib