Saturday, 6 April 2013

Bomoh Kaki Penipu Berjaya Ditangkap

Shukri menunjukkan duit milik bomoh yang dirampas.
Kerakusan seorang lelaki menyamar bomoh Siam sejak lapan tahun lalu untuk mendapatkan wang secara mudah akhirnya terbongkar apabila ditahan  sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Perak di Alor Setar, Kedah, Rabu lalu.

Suspek berusia 30 tahun itu dipercayai memperolehi hasil bernilai jutaan ringgit hanya dengan menjalankan kegiatan ngecek (penipuan) bomoh Siam sejak tahun 2005.

Malah, suspek mempunyai empat kereta mewah selain memiliki jumlah simpanan wang yang besar dalam beberapa akaun bank hasil ‘titik peluh’ penipuannya itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek yang bergerak secara solo itu memperdaya orang awam dengan menjanjikan ramalan nombor ekor.

Menurutnya, modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan mengedarkan risalah ke rumah mangsa.

“Mangsa yang terpedaya akan menghubungi suspek yang menyamar sebagai pembantu bomoh terbabit.

“Kemudian, suspek akan meminta mangsa untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun miliknya untuk upacara sembahyang khas bagi mendapatkan nombor ramalan.

“Dalam masa sama, mangsa turut ditipu suspek yang menyatakan nasib malang akan menimpa jika upacara sembahyang tersebut tidak dilakukan segera,” katanya pada sidang media di sini, semalam.



Kereta mewah kepunyaan bomoh disita.
Mohd Shukri berkata, siasatan awal mendapati mangsa memasukkan wang serendah RM150 hingga RM70,000 bagi satu-satu transaksi  untuk memperolehi nombor ekor yang dijanjikan.

“Bagaimanapun selepas suspek mendapat wang tersebut, dia akan cuba mengelak daripada menerima sebarang panggilan daripada mangsa,” katanya.

Katanya, tangkapan ke atas suspek selepas polis menerima empat laporan yang berlaku di sekitar Manjung, Sitiawan dan Taiping. Malah, suspek juga dipercayai terbabit dalam kes penipuan nombor ramalan di Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Melalui tangkapan yang dibuat pihaknya berjaya merampas dua kereta mewah Honda Accord dan BMW M5 Sport, enam telefon bimbit, 10 kad ATM/kredit milik suspek dan wang tunai berjumlah RM1,650.

“Pihak kami juga sedang mengesan dua buah kereta mewah jenis Subaru Imprezza dan Nissan Skyline yang dipercayai miliknya untuk dirampas,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda.

“Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama tujuh hari mulai 27 Mac lalu bagi membantu siasatan,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Shukri menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik penipuan sedemikian semata-mata untuk memperolehi kekayaan melalui jalan yang mudah.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib