Sunday, 14 April 2013

BN Terengganu tidak amal politik fitnah

Ahmad Said

Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak akan sesekali terlibat dengan politik kotor yang dipenuhi fitnah dan mengaibkan maruah mana-mana individu sepanjang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said berkata BN Terengganu juga tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah atau mendedahkan aib seseorang kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
"Saya sudah nasihatkan semua petugas parti di Terengganu supaya berhati-hati dengan sebarang hebahan maklumat yang ingin disebarkan seperti risalah dan bahan kempen mestilah mendapat berita yang sahih.
"Kita tidak mahu bersekongkol dengan perkara-perkara aib atau fitnah, kita tidak mahu tanggung dosa. Itu prinsip saya," katanya kepada pemberita selepas melawat 10 penduduk dan warga emas yang terlantar sakit di rumah masing-masing di Kampung Lubok Lesung di sini hari ini.
Seorang doktor perubatan yang turut serta dalam lawatan Ahmad dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud, memberikan rawatan segera kepada pesakit berkenaan.
Ditanya mengenai video seks mirip seorang pemimpin tertinggi Pas yang kini hangat diperkatakan,  Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu berkata: "Saya tidak menonton video itu dan tidak mahu memberi apa-apa komen kerana khuatir terlibat fitnah".
Ahmad turut mengingatkan semua petugas parti supaya mengawal emosi agar tidak terlibat dengan sebarang unsur provokasi sepanjang kempen PRU13. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib