Tuesday, 2 April 2013

Almeida Bukan Ganti Butler

Almeida menyerahkan dokumen kepada ceo T-Team

Ketua jurulatih T-Team Peter Butler boleh menarik nafas lega buat sementara waktu kerana Eduardo Almeida yang diperkatakan akan mengambil alih tugasnya dilantik sebagai ketua jurulatih dan pengarah teknikal Akademi Bola Sepak Titans Muda, semalam.

Almeida yang juga bekas jurulatih kelab Divisyen Tiga Siri F Portugal, Athletico Sport Club Reguengos yang pernah melatih Ahmad Fakri Saarani ketika pemain berkenaan beraksi di negara itu sudah menandatangani perjanjian dengan T-Team.

Bagaimanapun, kedudukan Butler yang juga pengurus The Titans masih belum selamat apabila kerajaan negeri memberi amaran keras supaya segera memperbaiki mutu permainan pasukan atau berdepan tindakan tegas selepas menamatkan pusingan pertama Liga Super di tangga kedua tercorot.


“Baiki mutu permainan atau berdepan tindakan tegas,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat selepas majlis menandatangani MoU dengan Almeida yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh.

Butler diminta meningkatkan prestasi pasukan
Katanya, amaran keras itu ditujukan bukan saja kepada Butler tetapi juga pihak pengurusan, pegawai dan pemain supaya kembali meraih kemenangan pada aksi pusingan kedua Liga Super yang bersambung 12 April ini.

“Terus terang saya katakan, kita memang tidak berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan T-Team. Jadi, saya harap pihak pengurusan mengambil tindakan drastik bagi meningkatkan kembali prestasi pasukan seterusnya meraih kemenangan pada perlawanan akan datang.

“Jika tidak, kita (kerajaan negeri) akan campur tangan dan mengambil tindakan terhadap pemain termasuk jurulatih dan pengurusan dengan beberapa cara termasuk menggantikan atau merehatkan mereka,” katanya.-
berita harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib