Wednesday, 3 April 2013

Ahmad Said Nafi Tidak Dicalonkan Dalam PRU13

Ahmad Said tetap akan bertanding
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengakui banyak spekulasi mengenai calon parti itu sejak akhir-akhir ini, namun melihat ia hanyalah cerita rekaan dan fitnah semata-mata.

Menurutnya, beliau sendiri tidak mampu untuk menghalang kerana kecanggihan teknologi memungkinkan banyak cakap-cakap belakang tabir, namun menyatakan spekulasi yang dibuat tiada asas.

“Sekarang ini ramai yang membuat cerita dan fitnah. Zaman langit terbuka, kita tidak boleh halang. Ini (ada yang) hantar sms, kata orang ini macam ini, orang itu macam itu, sedangkan orang tahu siapa yang sms sebenarnya.

“(Pernah) semasa saya sedang bermesyuarat Exco, ada yang kata sudah bubar, siap dengan ucapan sedangkan teks ucapan itu (dibuat) semasa zaman Pak Lah dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Apresiasi dan Resepsi Kecemerlangan Pendidikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.

Sementara itu, ketika ditanya tentang ura-ura mengatakan beliau akan bertanding di peringkat Parlimen dan ada yang menyatakan namanya tidak tersenarai sebagai calon, Ahmad bagaimanapun menafikannya.

“Sebab itu saya katakan (fitnah), ada yang kata MB langsung tidak ada dalam senarai. Itu memang tidak betullah sebab nama itu, saya sendiri yang serah, takkan saya tidak letak nama saya.

“Itu nampak sangat tidak logik. Sedangkan nama itu, saya sendiri yang beri kepada Perdana Menteri dan saya bincang dengan dia (malah) senarai nama sudah ada, ‘complete’. Cuma saya tidak boleh beritahu lagi, takut ada pertukaran saat-saat akhir kerana dalam politik, semua boleh berlaku.

“Melainkan apabila dah serah senarai calon. Kalau yang ada watikah pun, (mungkin) boleh ditarik balik. Hari ini beri, esok tukar orang lain,” katanya.

Ketika ditanya adakah kemungkinan ia disebabkan propaganda pembangkang untuk memecahbelahkan BN, Ahmad menyatakan, itu bukan persoalannya.

“Ini bukan soal pembangkang kerana orang kita juga ada buat spekulasi, ini biasalah. Sebab itu saya katakan kita sebagai orang politik, kita kena relaks. Kalau ada rezeki kita, adalah. Kalau tak ada, nak buat macam mana,” katanya.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib