Tuesday, 9 April 2013

Abdul Hadi Awang dakwa rakyat semakin faham konsep Negara Berkebajikan

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Konsep Negara Berkebajikan yang dibawa Pas diterangkan dengan terperinci dan jelas oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian semalam. 

Bicara Minda kali ini mengupas tajuk Negara Berkebajikan : Persepsi dan Realiti.

Bekas pelakon yang juga ahli Pas, Bob Lokman berkata, setelah menghadiri program ini kefahaman beliau tentang Negara Berkebajikan yang dibawa oleh Pas lebih mendalam. 

"Berkebajikan itu meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia, ada undang-undang dan ada prosesnya.
 
"Hari ini saya lihat Tuan Guru Haji Hadi membuat penjelasan yang jujur dan ikhlas, orang melihat dari segi aspek kepentingan politik, tentang kalah menang sebuah parti politik, tanpa menilai akan kebajikan dan kebenarannya," katanya.

Mengulas pandangan Hadi berhubung manifesto, Bob optimis Pakatan Rakyat akan memastikan manifesto atau janji yang dikemukakan kepada rakyat akan ditunaikan.
 
"Tuan Guru cakap sangat jelas, dari dulu pun saya faham mengenai perkara ini, bila kita tulis manifesto maknanya benda ini akan dibuat," ujarnya.

Konsep Negara Berkebajikan merangkumi tujuh ciri utama.

Buku tawaran negara berkebajikan Pas.
Antaranya ialah pembangunan bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam, kerajaan adalah "guardian" atau penjaga (ibu bapa) kepada rakyat, penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan.

Selain itu, kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu digalakkan, kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara dan rakyat sejahtera negara makmur.
 
Menurut ketua eksekutif sebuah syarikat swasta, Mazli Zakuan Mohd Noor, beliau yakin dengan konsep Negara Berkebajikan yang dibawa oleh Pas.
 
"Berdasarkan konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh Pas, saya rasa ianya satu pendekatan yang cemerlang, ianya jelas dan mudah untuk diterima oleh masyarakat awam," katanya.
 
"Ia memberi satu anjakan paradigma baru kepada masyarakat, jelas dan mudah difahami," tambahnya lagi. 

Ahmad Al-Mesiyry Abdullah, seorang mahasiswa pula berkata, konsep Negara Berkebajikan yang dibawa Pas merupakan satu konsep yang holistik.
 
"Konsep Negara Berkebajikan Pas ini merujuk kepada keseluruhan aspek-aspek kehidupan, ianya meliputi hal ehwal pendidikan, ekonomi, masyarakat dan lain-lain lagi," katanya.
 
Kenyataan ini turut disokong oleh peserta program, Amsor Tuah, yang merasakan konsep Negara Berkebajikan ini sangat praktikal.
 
"Saya sangat bersetuju dengan konsep ini, mudah-mudahan ianya dapat dilaksanakan seandainya Pakatan Rakyat (PR) memerintah Putrajaya nanti," ujarnya.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib