Tuesday, 19 March 2013

Wawa Zainal Tak Mahu Watak Ganas Dan Jahat

Wawa mahu fokus bidang lakonan
BIARPUN industri seni kini mengalami lambakan muka-muka baru, namun ia bukan halangan besar buat pelakon cantik, Wawa Zainal.

Enggan bersandarkan rupa paras semata-mata, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, optimis mengembangkan bakatnya ke persada seni.

Kelibatnya juga sering menghiasi kaca televisyen sejak akhir-akhir ini, namun akui anak kelahiran Sabah ini, dia belum bersedia untuk memikul watak antagonis.

Mengakui penampilan dan imejnya yang tidak bersesuaian dengan watak sebegitu, Wawa pernah menolak beberapa tawaran dari pihak produksi.

"Bukan Wawa tak mahu cabar diri dengan watak yang begitu, namun ia tidak bersesuaian dengan peribadi Wawa sendiri. Wawa pernah cuba, tapi tak menjadi.

"Suara Wawa pun halus dan lembut. Memang tak sesuai langsung. Kalau watak psiko atau gedik manja, mungkin boleh.

"Tapi, kalau watak yang betul-betul jahat, memang tak boleh. Wawa tak mahu orang pertikai kebolehan Wawa sedangkan Wawa sendiri tak yakin untuk membawa watak itu," katanya.


Berhasrat berhijrah bila sampai waktunya
Memandang positif penghijrahan di kalangan artis, Wawa turut berharap agar dirinya mendapat hidayah untuk mengikuti jejak langkah selebriti lain yang tampil berhijab.

Akui Wawa, hasrat untuk berhijrah memang sudah lama difikirkan. Namun, buat masa terdekat ini, masih banyak perkara perlu dipelajari.

"Saya memang ingin berhijab kerana ia adalah tuntutan agama. Saya juga sedang berjinak-jinak untuk ke arah itu. Namun, saya tidak mahu penghijrahan itu hanya untuk menutup aurat sahaja.

"Saya ada menyertai kelas agama dan mengaji al-Quran untuk mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam lagi sebagai persediaan.

"Kalau ikutkan sasaran, saya mahu berhijrah sebelum atau selepas berkahwin. Namun, jika hidayah itu lebih awal, saya bersyukur. Doakan yang terbaik untuk saya," katanya yang menolak untuk menyertai mana-mana politik selepas berhijrah.

Ditanya mengenai kehidupan peribadi pula, Wawa memberitahu, dirinya masih solo dan tidak terikat dengan mana-mana lelaki.

Mengakui masih belum sedia untuk membina hubungan lebih serius, Wawa mengakui dia lebih suka berkawan.

Belum sedia hubungan serius
"Saya ada berkawan dengan beberapa lelaki. Namun, mereka hanyalah kawan saya. Setakat ini, saya masih belum terfikir untuk ke arah hubungan lebih serius.

"Namun, jika ada jodoh, saya tidak boleh menidakkannya. Semuanya ketentuan ALLAH SWT.

"Kalau nak ikutkan perancangan, saya mahu menamatkan zaman bujang pada usia 26 tahun. Jadi, saya ada masa empat tahun lagi untuk fokus dalam bidang kerjaya," katanya yang bakal membintangi filem terbaru MIG tidak lama lagi.-sinarharian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib