Wednesday, 13 March 2013

(Terkini) Jenazah Wira Negara Selamat Tiba Di Pangkalan TUDM

Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail 

Jenazah Koperal Ahmad Hurairah Ismail yang tergugur ditembak kumpulan pengganas di Kampung Sungai Nyamuk, Lahad Datu, Sabah semalam tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, pagi tadi.
Turut tiba ialah jenazah Koperal Ahmad Farhan Ruslan, dari Batalion Tiga Rejimen Askar Melayu Diraja, yang terbunuh dalam kemalangan di Cenderawasih dekat Lahad Datu semalam ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan Op Daulat.

Kedua-dua anggota itu yang merupakan prebet ketika tergugur dinaikkan pangkat sebagai koperal.

Pesawat yang membawa kedua-dua jenazah tiba kira-kira jam 7.45 pagi.
Sidang media DS Zahid Hamidi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut ketibaan jenazah.
Allyahyarham Koperal Ahmad Hurairah yang berusia 24 tahun, dari Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Tawau, gugur pagi semalam.

Kedua-dua jenazah kemudiannya diterbangkan ke Kelantan dan akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah yang bermula 12 Februari, manakala 56 pengganas ditembak mati.
Sementara itu di Pasir Mas Kelantan, bapa Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah yang terkorban Ismail Husin reda dan menerima ketentuan takdir.


"Saya reda kerana kematian arwah adalah untuk mempertahankan negara," kata Ismail Husin, bapa Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Sungai Nyamuk, Lahad Datu, Sabah, semalam.
Ismail, 55, berkata, beliau menerima berita sedih yang menimpa anaknya itu kira-kira 2.30 petang semalam daripada seorang rakan Allahyarham yang menelefon memberitahu anaknya terlibat dalam pertempuran dan terkorban.
"Kali terakhir (Allahyarham) jumpa saya ialah pada hari raya Aidilfitri 2010, selepas itu kami banyak berhubung melalui telefon dan SMS," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bayu Lalang di sini, hari ini.
Ahmad Hurairah, 24, dari Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Tawau, Sabah, terkorban dan dua penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, berhampiran Kampung Tanjung Batu.
Ismail, seorang petani, berkata Allahyarham anak ketiga daripada 12 beradik dan seorang anak yang sentiasa mengambil berat serta banyak membantu keluarga.
"Kali terakhir arwah menelefon saya pada 1 Mac, masa itu dua anggota polis terkorban. Arwah beritahu suruh doakannya sentiasa selamat sebab dia nak pergi
ke Lahad Datu.
"Kali terakhir arwah (menghantar) SMS ialah 10 Mac (Ahad) beritahu dia kena standby untuk ke Lahad Datu," katanya sambil memberitahu Allahyarham telah empat tahun berkhidmat dalam tentera.
Ibu Allahyarham, Rahmah Mamat, 50, berkata, beliau memang sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu tetapi demi perjuangan untuk mempertahankan negara, beliau reda dengan ketentuan ALLAH SWT itu.
Anggota keluarga, kenalan dan penduduk kampung mula berkumpul di rumah keluarga Allahyarham untuk menunggu ketibaan jenazah.
Jenazah Allahyarham dijangka tiba pagi esok dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang.-sharian, gambar anginlautchinaselatan.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib