Wednesday, 6 March 2013

T-Team Terus Buntu Catat Kemenangan


Ketumpulan barisan penyerang terus menghantui skuad T-Team apabila sekadar seri 0-0 dengan Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.
Buktinya daripada sembilan perlawanan yang diharungi skuad dari Terengganu itu, hanya tiga jaringan diperolehi sementara sembilan kali bolos dengan memungut sembilan mata.

Kekurangan jaringan itu menyaksikan T-Team berada di tangga ke-10 liga dan keadaan ini sekali gus menyebabkan pasukan itu berada dalam situasi bahaya biarpun aksi liga masih panjang.
Bagaimanapun, bagi pengendalinya Peter Butler, situasi itu sedikitpun tidak mencemaskannya sebaliknya jurulatih berbangsa Inggeris itu yang dipecat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) musim lalu mengakui pasukannya belum berada dalam keadaan bahaya.

“Seperti perlawanan hari ini (semalam) saya tetap berpuas hati dengan corak yang dipamerkan anak buah yang bekerja keras pada babak pertama dan kedua walaupun gagal memenangi perlawanan petang ini.

“Pemain kami yang rata-ratanya pemain muda bermain baik dengan banyak cubaan yang mencemaskan pintu gol lawan, namun kami tidak bernasib baik untuk mencatat kemenangan ketiga petang ini, namun saya tetap gembira dengan mengutip satu mata,” katanya.
Ketika ditanya aksi penyerang importnya, Caleb Folan yang gagal menjaringkan gol sehingga kini biarpun sudah memasuki 11 perlawanan termasuk Piala FA, Butler tetap mempertahankan bekas pemain kelab Liga Inggeris, Hull City itu.

“Saya berpandangan pemain itu belum lagi menemui sentuhan jaringan dan saya yakin pengalaman yang ada pada pemain itu mampu memberi impak positif kepada lawan terutama pertemuan dengan Terengganu Jumaat ini,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Folan memperolehi tiga peluang yang mampu menghasilkan jaringan, namun aksi longlai pemain itu mengecewakan pasukannya selain dicemuh kira-kira 1,000 penonton yang hadir.

Sementara itu, kem Selangor tetap berpuas hati memungut satu mata biarpun impian kali kedua untuk menewaskan pasukan dari Terengganu itu tidak tercapai.

“Sebelum ini kami berjaya mengutip tiga mata di gelanggang sama menewaskan Terengganu, namun keputusan seri pada hari sudah memadai buat pasukan,” kata penolong jurulatih Selangor, P Maniam.-harian metro,gambar facebook ganusoccer

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib